PUTRAJAYA: Tindakan berat akan dikenakan kepada remaja dan pemilik kenderaan yang menyebabkan kematian dan kecederaan parah pemotong rumput dalam satu kemalangan di Sungai Petani, Kedah pada Sabtu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ia berdasarkan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang telah dilaksanakan.

“Tindakan bukan sahaja kepada pemandu tetapi pemilik kenderaan turut akan dikenakan tindakan yang berat.

“Dalam kes ini, sesiapa tersabit kesalahan dengan kecuaian dan menyebabkan kecederaan mana-mana pihak boleh diambil tindakan keras,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022 di Seri Perdana di sini pada Ahad.

BACA: Pemotong rumput maut, rakannya parah dirempuh kereta terbabas

BACA: Pemotong rumput maut: Pelajar sekolah pandu MPV dibebas dengan jaminan polis

Tiada Lesen Memandu | Pemilik, pemandu boleh dikenakan tindakan maksimum


Pada Sabtu, media melaporkan seorang pemotong rumput maut manakala seorang lagi parah selepas dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu pelajar berusia 16 tahun ketika berehat di bahu jalan, Jalan Pintasan Semeling berhampiran Taman Malinja, Bedong.

Dalam kemalangan jam 11 pagi itu, seorang daripada mangsa meninggal dunia di lokasi manakala rakannya patah bahu tangan kanan dan masih menerima rawatan di hospital.

Dalam masa sama, beliau berkata, usaha untuk memberikan kesedaran berkaitan keselamatan jalan raya perlu dilipatgandakan.

Kemalangan | Seorang pemotong rumput maut dirempuh kereta


*Artikel asal disiarkan di Sinar Harian