IPOH: Polis berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki mencabul seorang pelancong wanita warga Sepanyol di sini, pada Rabu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pemuda berusia 21 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan daripada wanita berkenaan, yang mendakwa telah dicabul seorang lelaki tidak dikenali di Lorong Panglima di sini, pada hari yang sama.

Menurutnya, ekoran daripada itu, siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

“Bertindak atas maklumat, dalam tempoh kurang dari 24 jam, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ipoh telah berjaya seorang lelaki berumur 21 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes ini, bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurutnya lagi, suspek telah direman lima hari sehingga hari ini bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Kertas siasatan kes telah dirujuk ke kamar Timbalan Pendakwa Raya dan telah bersetuju suspek dituduh di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 292(a) kanun yang sama,” ujarnya.

Suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata, pihak polis mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat jenayah dan mendapatkan khidmat polis dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ipoh di talian 05-254222.