Skip to main content
Advertisement

Malaysia

PEMUDAH teliti langkah percepat bayaran, perkukuh akses pembiayaan PMKS

61616250988_PKS.jpg
Kerajaan sedang meneliti langkah mempercepat pembayaran bagi perkhidmatan yang telah dilaksanakan serta memperkukuh akses pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) termasuk menerusi pembiayaan berasaskan kontrak dan invois. - Gambar fail
Advertisement

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang meneliti langkah mempercepat pembayaran bagi perkhidmatan yang telah dilaksanakan serta memperkukuh akses pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) termasuk menerusi pembiayaan berasaskan kontrak dan invois.

Kementerian Ekonomi memaklumkan langkah itu antara perkara diberikan pertimbangan dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) Bilangan 4 Tahun 2026 yang dipengerusikan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir bersama Penasihat Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin hari ini.

Menurut kenyataan itu, antara cadangan yang diteliti ialah penggunaan penilaian kredit alternatif, peluasan jaminan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) serta penambahbaikan tatakelola pembayaran.

"Langkah ini penting memandangkan PMKS merangkumi 96.2 peratus atau 1.29 juta pertubuhan perniagaan dan menyumbang 39.7 peratus atau RM689.8 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025," menurut kenyataan itu.

Kementerian Ekonomi memaklumkan proses pengesahan kerja turut diberikan perhatian dalam usaha mempercepat pembayaran bagi perkhidmatan yang telah dilaksanakan.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat itu turut mempertimbangkan usaha memperkukuh ekosistem peraturan Gudang Pengilangan Berlesen (GPB) bagi menyokong aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri.

"Ia termasuk cadangan mewujudkan kerangka model R&D yang lebih khusus dan responsif terhadap keperluan sektor," menurut kementerian.

Kementerian Ekonomi memaklumkan Kumpulan Kerja Teknikal Perdagangan Antarabangsa bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) turut dicadangkan menerajui inisiatif berkenaan, dengan hasil libat urus serta cadangan kerangka baharu dikemukakan kepada PEMUDAH dalam tempoh dua bulan.

Dalam mesyuarat sama, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut membentangkan prestasi pertumbuhan ekonomi negara bagi separuh pertama 2026, termasuk sejauh mana pertumbuhan itu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat.

Kementerian Ekonomi memaklumkan PEMUDAH akan terus menjadi platform kerjasama kerajaan dan sektor swasta bagi menangani kekangan pelaksanaan serta memperhalusi penyelesaian praktikal untuk memudah cara urusan perniagaan, memperkukuh produktiviti PMKS serta menyokong inovasi dan R&D.

"Keutamaan kerajaan adalah memastikan reformasi persekitaran perniagaan menghasilkan proses yang lebih cekap, kos pematuhan yang lebih munasabah serta ekosistem yang lebih kondusif kepada pertumbuhan dan inovasi," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement