TINDAKAN menghukum penagih dan mengaitkan mereka dengan jenayah bukan sahaja tidak boleh dapat menyelesaikan masalah itu, malah boleh mengundang pelbagai kesan negatif.

Pengarah Pusat Penyelidikan Dadah Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr B. Vicknasingam menegaskan bahawa penagih dadah perlu dirawat dan bukannya dikenakan hukuman.

“Penagih dadah mempunyai persamaan dengan pensakit mental kerana pesakit mental bukan sahaja mempunyai masalah kesihatan, mereka juga membawa masalah kepada masyarakat juga.

“Sama seperti penagih dadah. Sebagai contoh, mereka memerlukan wang secara berterusan untuk membeli dadah. Oleh itu, mereka akan bertindak untuk mencuri.

“Namun, jika penagih dadah ini mendapat rawatan lebih awal, mereka mungkin tidak akan melakukan jenayah tersebut. Oleh itu, penagih perlu diberikan rawatan supaya mereka boleh kembali menjadi insan normal,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.


Vicknasingam menegaskan bahawa mengenakan hukuman penjara ke atas penagih ini tidak memberikan rawatan yang diperlukan, sebaliknya hanya menjauhkan mereka daripada masyarakat luar buat tempoh yang pendek.

“Apabila dibebaskan, penagih tersebut barangkali akan melakukan kegiatan jenayah lagi atau kembali mengambil dadah.

“Kitaran ini akan berterusan dan dalam jangka masa yang panjang, hukuman ini tidak membawa kesan positif,” tambahnya.