KUALA LUMPUR: Penahanan dan pendakwaan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tiada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan pada 12 Ogos depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata penahanan Muhammad Sanusi dibuat selepas mengambil kira beberapa fakta untuk beliau menghadapi pertuduhan di mahkamah mengikut Akta Hasutan.

"Isu Sanusi belum selesai, pada hemat saya secara peribadi, Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan ke atas beliau bukan soal pilihan raya, bukan soal titah Tuanku.

"Tetapi kita dapati beberapa fakta yang difikirkan oleh Jabatan Peguam Negara ada kes yang kuat untuk membawa beliau ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan," katanya kepada media selepas menyempurnakan Hari Anugerah Pendidik Mara 2023 di Kuala Lumpur pada Selasa.

Pagi tadi, Muhammad Sanusi, 48, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lepas.

Muhammad Sanusi, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu dituduh melakukan kedua-dua kesalahan berkenaan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara - Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam, 11 Julai lepas.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu Zahid berkata, mahkamah adalah platform terbaik untuk Muhammad Sanusi menjawab tuduhan serta mempertahankan dirinya.

"Saya pun pernah dibawa ke mahkamah... setiap pertuduhan itu kalau dibuat pengakuan secara terus maka hakim akan membuat keputusan untuk menjatuhkan hukuman.

"Beliau mempunyai kaedah yang sama... tetapi soalnya sekarang ini kalau kita membaca titah Tuanku melalui kenyataan yang dikeluarkan, bahawa isu Sanusi belum selesai.

"Mungkin itu sebabnya pihak Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan terhadap beliau," katanya.

BACA: Sanusi mengaku tak salah tuduhan menghasut dalam ceramah politik

BACA: Sanusi mengaku tak salah terhadap satu lagi tuduhan menghasut

BACA: "Pendakwaan di mahkamah bertujuan jejaskan peluang saya dalam PRN" - Sanusi


Ketika ditanya mengenai kedudukan Muhammad Sanusi dalam PRN akan datang, Zahid memberitahu segalanya masih dalam proses mahkamah, malah beliau belum lagi dijatuhkan hukuman.

"Ini bukan kesalahan jenayah dan beliau belum dijatuhkan hukuman," katanya.