Skip to main content

Malaysia

Penang Free School sambut ulang tahun ke-210, pacu transformasi digital

Ini merupakan seruan kepada seluruh warga Penang Free School untuk bersama-sama tampil dan melabur dalam masa depan sekolah. - Foto fail/BERNAMA
Ini merupakan seruan kepada seluruh warga Penang Free School untuk bersama-sama tampil dan melabur dalam masa depan sekolah. - Foto fail/BERNAMA

Advertisement

GEORGE TOWN: Penang Free School (PFS), sekolah aliran Inggeris tertua di Asia Tenggara, yang menyambut ulang tahun ke-210 tahun ini, komited menumpukan kepada usaha memperkukuh kesiapsiagaan sekolah dalam menghadapi perkembangan pendidikan dan teknologi.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sambutan Ivan Ooi Jieun Vei berkata, sambutan itu turut menjadi platform untuk menggerakkan sokongan kepada Dana Transformasi Digital PFS bagi mempercepat usaha menyediakan sekolah dan pelajarnya menghadapi landskap pendidikan, teknologi serta ekonomi yang semakin berkembang.

“Ini bukan sekadar sambutan 210 tahun sejarah. Ini merupakan seruan kepada seluruh warga Penang Free School untuk bersama-sama tampil dan melabur dalam masa depan sekolah.

“Kami mahu memanfaatkan kekuatan alumni, pendidik, industri dan komuniti bagi memastikan para pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah juga mampu berkembang sebagai golongan profesional, inovator dan pemimpin masa depan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata tumpuan menerusi dana itu adalah terarah kepada pengukuhan infrastruktur digital, peningkatan keupayaan pendidik serta pendedahan pelajar kepada bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), kecerdasan buatan (AI), robotik, pengekodan dan teknologi digital baharu.

Katanya sehingga 28 Sept, sebanyak 13 unit papan pintar bersaiz 75 inci telah diperoleh menerusi Inisiatif Transformasi Digital PFS daripada sasaran keseluruhan 33 unit untuk ditempatkan di seluruh sekolah.

Beliau berkata Dana Transformasi Digital itu bertujuan melengkapi, bukannya menggantikan pembiayaan kerajaan dalam memastikan pembangunan sekolah dapat dipercepat.

“Kami bukan mengumpul dana semata-mata untuk mendapatkan teknologi. Kami melabur dalam keupayaan, peluang dan akhirnya dalam pembangunan bakat yang akan menjadi sandaran ekonomi masa depan Pulau Pinang,” katanya.

Acara kemuncak sambutan adalah Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-210 yang akan berlangsung di PFS pada 3 Okt, dari 6 petang hingga 11.30 malam, dengan persembahan khas oleh Ratu Rock Malaysia, Ella, serta persembahan bakat pelajar PFS.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement