KOTA MARUDU: Penantian selama 18 tahun Masri Bakri, 45, untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai apabila dia dan keluarga kecilnya kini mendiami rumah yang dibina menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Tanjung Batu di sini.

Masri, yang bekerja sebagai nelayan, sebelum ini menumpang di rumah keluarga mentuanya bersama isteri, Masritah Mohd Yassin, 40, dan empat anak mereka sejak 2003.

Beliau berkata mereka sekeluarga mula mendiami rumah PPRT itu pada April selepas ia mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disiapkan sepenuhnya.

"Kami tinggal di rumah mentua cukup lama. Sebenarnya saya memang sudah lama memohon rumah PPRT dan kalau diikutkan, ada tujuh kali saya membuat permohonan tetapi tidak berjaya.

"Bagaimanapun, saya amat bersyukur apabila pada tahun ini diberikan rezeki untuk mendapatkan rumah PPRT. Anak-Anak juga gembira dapat tempat tinggal yang selesa. Terima kasih kepada kerajaan kerana membantu golongan seperti kami," kata Masri kepada pemberita di rumahnya pada Isnin.

Rumah berkeluasan 660 kaki persegi itu, yang dilengkapi tiga bilik tidur, satu bilik air, dapur serta ruang tamu, dibina dengan kerjasama GiatMARA menerusi projek PPRT 2021, Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Seorang lagi penerima, Ramlon Maidin, 51, turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan membina rumah PPRT yang disifatkannya sebagai kediaman cukup selesa serta selamat untuk isteri dan lima anak mereka masing-masing berumur empat hingga 15 tahun.

"Saya gembira dapat memiliki rumah sendiri. Anak-Anak cukup seronok dengan rumah baharu, bukan macam rumah lama dulu, keadaan sangat teruk apatah lagi ketika hujan kerana air masuk sampai ke dalam. Sekarang tidur pun selesa," katanya yang bersyukur kerana usaha memohon selama 10 tahun ternyata berbaloi apabila impian untuk memiliki rumah PPRT tercapai tahun ini.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid menyerahkan replika kunci rumah kepada penerima PPRT Bina Baru di kampung itu selain bantuan bakul makanan kepada mereka

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang juga Menteri Kerja Raya negeri.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Mahdzir berkata Kerajaan Persekutuan memperuntuk RM83.2 juta bagi membina 520 rumah baharu PPRT dan membaik pulih sejumlah 2,818 rumah PPRT di Sabah serta Labuan pada tahun ini.

-- BERNAMA