KUALA LUMPUR:Penambahbaikan kadar penarafan Malaysia oleh Fitch Ratings bergantung kepada kelancaran pelaksanaan dasar pemulihan ekonomi negara, kata Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Menurut beliau jika kesemua dasar fiskal dan monetari berada di landasan tepat, penarafan serta tinjauan oleh firma penarafan akan kembali positif.

"Ketika keadaan COVID-19 kini, penilaian melihat kepada bagaimana kita ingin merancakkan ekonomi.

"Apabila kita membuat sesuatu keputusan (dasar), ada komprominya, dan dalam keadaan semasa ini kita perlu berbelanja lebih, perlu naikan had siling hutang kerana kita ingin tingkatkan fleksibiliti untuk rancakan ekonomi. Sasarannya adalah pertumbuhan lebih baik kerana kita ingin wujudkan peluang pekerjaan," ujarnya.

Afzanizam berkata, meskipun penarafan itu penting terutama untuk pelabur institusi namun keadaan ekonomi semasa memerlukan kerajaan melakukan langkah berani seperti berbelanja besar dan meningkat had siling hutang. 

"Penarafan kredit ini adalah pendapat berkenaan kredit. Pendapat ini diterjemahkan melalui skala rating. Penarafan ini pula digunakan oleh pelabur institusi apabila mereka melabur dalam pasaran bon.

"Apabila melabur dalam pasaran bon ini, risiko utama yang paling dirisaukan adalah risiko mungkir atau risiko tidak mampu bayar hutang. Itu sebab penarafan ini amat penting untuk golongan pelabur. Tetapi penarafan ini bukan segalanya.

"Apabila kerajaan menilai apakah dasar sesuai dilaksanakan, pendapat berkenaan kredit ini hanyalah salah satu daripada penilaian itu. Tetap dalam keadaan COVID-19 kini penilaian itu lebih kepada bagaimana nak rancakan ekonomi.

"Apabila kerajaan buat sesuatu keputusan itu ada komprominya. Dalam keadaan semasa ini perlu berbelanja lebih, perlu naikan had siling hutang kerana mahu tingkatkan fleksibiliti untuk merancakan ekonomi dan sasarannya untuk dapatkan pertumbuhan lebih baik.

"Tetapi ada kesan samping seperti penurunan penarafan," katanya.

Afzanizam berkata penarafan itu juga bukan bersifat kekal dan ia bergantung kepada dasar yang diambil kerajaan ketika berdepan krisis.

"Kita sudah lihat Fitch menurunkan penarafan negara kepada BBB+, tetapi jika kita letakan dasar yang baik dan ada hasil yang kita jangkakan, serta wujudkan rancangan mengecilkan defisit fiskal, penarafan itu dapat diubah sekurang-kurangnya unjuran itu dapat dinaikan," katanya.

Afzanizam berkata penurunan penarafan oleh Fitch itu bukan  sesuatu yang mengejutkan kerana banyak negara di dunia juga menerima nasib sama akibat pandemik COVID-19.

"Penurunan penarafan sesuatu yang merisaukan kerana ia memberi kesan kepada pasaran kewangan, bon serta mata wang. Ini kerana penyertaan pelabur asing agak besar dalam pasaran bon Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) sekitar 40.3 peratus setakat Ogos.

"April lalu Fitch sudah pun semak turun unjuran rating sedia ada kepada negatif berbanding stabil. S&P juga sama," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Fitch Ratings pada Jumaat menyemak turun penarafan Malaysia daripada "A-" kepada "BBB+" dengan unjuran stabil pada Jumaat.

BACA: Fitch semak turun penarafan Malaysia, unjuran stabil

Dalam analisisnya, semakan turun berkenaan dibuat berdasarkan krisis COVID-19 menjejaskan beberapa metrik kredit utama Malaysia.

Afzanizam juga berkata, unjuran pertumbuhan 2021 di landasan betul susulan pelaksanaan dasar fiskal dan monetari yang menyokong pertumbuhan.

"Dasar fiskal kita dapat lihat saiz belanjawan besar RM322.5 bilion. Tahun ini juga pakej rangsangan ekonomi RM305 bilion. Kalau kita bandingkan dengan pakej rangsangan ketika negara berdepan krisis sub prima pada 2008, sekitar RM67 bilion.

"Kita perlu ingat impak dasar fiskal ini cepat berbanding dasar monetari. Dasar monetari ini walaupun Kadar Dasar Semalaman (OPR) sudah diturunkan sebanyak 125 mata asas, tetapi kesan itu memakan masa.

"Kesan kepada ekonomi untuk tahun ini sekitar 0.4 hingga 0.5 mata peratusan. Kesannya mengambil masa lebih 12 bulan, " katanya.

Namun Afzanizam berkata asas ekonomi negara masih kukuh dengan kadar rizab yang tinggi, kecairan sistem perbankan kukuh serta modal yang tinggi.