KUALA LUMPUR: Pencalonan bagi Anugerah Raja Faisal 2028 yang berprestij kini dibuka, bertujuan mengiktiraf individu dan institusi yang telah memberikan sumbangan cemerlang dalam bidang Islam, akademik, perubatan, dan sains menerusi lima kategori.
Setiausaha Agung Anugerah Raja Faisal, Dr Abdulaziz Alsebail, dalam satu kenyataan dikeluarkan Sekretariat Anugerah Raja Faisal memaklumkan bahawa pencalonan dibuka pada Selasa dan akan diteruskan sehingga 31 Mac 2027 bagi lima kategori iaitu Khidmat Kepada Islam, Pengajian Islam, Bahasa dan Kesusasteraan Arab, Perubatan, serta Sains.
“Pusingan pencalonan terbaharu ini menandakan satu lagi peristiwa penting dalam sejarah 50 tahun anugerah ini bagi mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada individu serta institusi terkemuka yang sumbangan mereka telah memperkayakan kemanusiaan,” katanya.
Bagi tahun 2028, beliau berkata kategori Pengajian Islam akan memberi tumpuan kepada "Warisan Islam di al-Andalus", manakala Bahasa dan Kesusasteraan Arab bertemakan "Kesusasteraan Arab dari Perspektif Kajian Perbandingan".
Kategori Perubatan pula akan memfokuskan kepada "Terapi Berasaskan RNA", manakala Biologi dipilih sebagai bidang bagi kategori Sains. Anugerah Khidmat Kepada Islam merupakan anugerah kehormat bagi mengiktiraf individu atau institusi atas sumbangan cemerlang mereka kepada Islam, umat Islam, dan kemanusiaan.
Pencalonan terbuka kepada institusi akademik dan sains serta pusat penyelidikan, dan boleh dikemukakan melalui pos, e-mel di [email protected], atau menerusi portal pencalonan anugerah itu, dengan maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang Anugerah Raja Faisal.
-- BERNAMA