KUALA LUMPUR:Pencemaran air di Loji Rawatan Air (LRA) Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Velox, Rawang, sehingga menyebabkan pencemaran di Sungai Selangor, berpunca daripada pembuangan sisa berjadual di salah sebuah premis di lokasi kejadian.

Menurut Menteri Alam Sekitar Dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, siasatan pihak berkuasa membawa kepada penemuan sebuah premis yang tidak berlesen di Jalan Velox 2 yang melakukan pelepasan haram itu.

"Sebuah premis tidak berlesen di Taman Velox, Rawang didapati telah membuat pelepasan haram (illegal discharge) dengan mengalirkan buangan berpigmen yang disyaki sebagai buangan terjadual (BT) dalam sistem pembetungan IWK melalui lubang tandas dan inspection chamber yang terdapat di dalam premis berkenaan.

"Penemuan awal mendapati bau bahan yang ditemui adalah sama seperti bau di Loji Rawatan Kumbahan IWK dan LRA. Kesemua sampel telah diambil oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan akan dianalisis oleh Jabatan Kimia Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: Pencemaran: 40 tong berisi 4,000 liter bahan buangan ditemukan dalam premis 

Susulan penemuan itu, empat suspek termasuk penyewa premis berkenaan ditahan polis untuk disiasat di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan, manakala premis berkenaan disita Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

"Pengurusan buangan terjadual juga perlu diberi perhatian yang serius bagi mematuhi undang-undang dan garis panduan sedia ada.

"Buangan ini hendaklah dikitar semula atau dilupuskan di premis yang dilesenkan oleh JAS sahaja kerana buangan terjadual yang mempunyai ciri-ciri berbahaya boleh mendatangkan risiko kesihatan kepada manusia serta pencemaran air, udara dan tanah," tegasnya. 


Foto ihsan KASA


Pihak industri atau mana-mana orang adalah dilarang sama sekali untuk melupuskan buangan terjadual secara haram, tambahnya.

Tuan Ibrahim menjelaskan, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang ingkar dan melakukan pencemaran air sungai.

Katanya, jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman denda RM100,00 atau penjara maksimum 5 tahun, atau kedua dua sekali di bawah Seksyen 25 (Sekatan Mengenai Pencemaran Perairan Daratan), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Manakala, Seksyen 34A akta sama memperuntukkan denda RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 34B (Larangan terhadap penempatan, peletakan dsb bahan terjadual) membawa hukuman penjara mandatori serta denda maksimum RM500,000.

Pelaku juga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang memperuntukkan denda tidak lebih RM300,000 atau hukuman penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya. 

Foto ihsan KASA

Semalam, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 telah dihenti tugas, menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang, berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Gangguan bekalan itu merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mulai 6 petang semalam.

Ketua Setiausaha KASA Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dilaporkan berkata pencemaran itu dipercayai berpunca dari kawasan Industri Kecil dan Sederhana di Taman Velox, Rawang.