MELAKA:Pemilik sebuah kolam penternakan ikan keli di Masjid Tanah di sini dikompaun sebanyak RM12,000 kerana mengakibatkan pencemaran di Sungai Baru, dekat Masjid Tanah, pada Februari tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata kompaun berkenaan dikeluarkan semalam oleh Kerajaan negeri Melaka melalui Badan Kawal Selia Air (BKSA).

"Pencemaran dikesan pada Februari tahun lepas itu menyebabkan air sungai berkenaan berbau busuk hingga ke Pekan Masjid Tanah dan kematian ikan. Aduan tersebut diterima daripada penduduk setempat.

"Tindakan diambil di bawah Seksyen 39(a) Enakmen Sumber Air (Negeri Melaka) 2014," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Norhizam berkata pemilik kolam ternakan ikan keli yang telah beroperasi sejak 10 tahun lepas itu, didapati melepaskan air kotoran dari kolam sisa ikan keli ke sungai berkenaan tanpa terlebih dahulu merawat air serta melepaskan sisa darah ayam dan telur busuk ke sungai berkenaan.

Turut hadir Pengarah BKSA negeri, Faizah Abdul Rahman @ Sulaiman.

Mengulas lanjut, Norhizam berkata pemantauan terhadap aktiviti penternakan kolam berkenaan akan terus dilaksanakan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

Menurut beliau sekiranya pemilik mengulangi kesalahan sama, kompaun maksimum akan dikenakan iaitu sebanyak RM125,000 atau RM1,000 sehari sepanjang pencemaran berkenaan berlaku.

"Kerajaan negeri komited dalam usaha mengawal pembangunan di sekitar kawasan tadahan air terutama dalam aktiviti pertanian atau penternakan yang boleh mengakibatkan pencemaran sehingga mengancam keselamatan sumber air negeri," katanya.

Katanya rakyat Melaka khususnya penduduk setempat diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti yang disyaki mengakibatkan pencemaran air kepada BKSA atau terus kepadanya di talian 012-6355370.

Sementara itu, Faizah berkata sebanyak sembilan kertas siasatan berkaitan aktiviti yang menyebabkan pencemaran air telah dibuka dalam tempoh Januari tahun lepas hingga Januari tahun ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, dua kes tersebut telah diambil tindakan melibatkan kompaun berjumlah RM22,000.

-- BERNAMA