MALAYSIA
Penceramah, pendakwah bebas diingatkan patuhi etika, garis panduan ditetapkan - Mohd Na'im

Mohd Na'im berkata Kerajaan Madani juga komited untuk memperkasakan ekosistem dakwah yang lebih tersusun, profesional dan berintegriti. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar mengingatkan kepada penceramah dan pendakwah, khususnya yang bergerak bebas, supaya sentiasa mematuhi etika dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri.
Ringkasan AI
- Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Mohd Naim Mokhtar, menegaskan bahawa penceramah bebas mesti menjaga akhlak, integriti dan mematuhi garis panduan pihak berkuasa agama negeri agar dakwah membawa rahmat, bukan fitnah.
- Program Felo Muda Dakwah (FMD) dan Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) telah melatih 364 peserta sejak 2014 bagi melahirkan pendakwah profesional dan berakhlak selaras dengan aspirasi ummah MADANI.
- Susulan kes penceramah bebas yang disyaki menyebar video seks, Mohd Naim menyeru masyarakat agar tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman dan menolak budaya mengaibkan demi perhatian
"Kedudukan sebagai pendakwah bukanlah lesen untuk memperalatkan agama demi kepentingan peribadi atau terlibat dalam perlakuan yang tidak bermoral dan bercanggah dengan undang-undang," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Mohd Na'im berkata Kerajaan Madani juga komited untuk memperkasakan ekosistem dakwah yang lebih tersusun, profesional dan berintegriti.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata pihaknya bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah menganjurkan program Felo Muda Dakwah (FMD) dan Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) yang memfokuskan kepada usaha melahirkan pendakwah-pendakwah muda negara.
"Hingga kini, sebanyak 364 orang sudah menjalani latihan intensif untuk kedua-dua program ini sejak ia dimulakan pada 2014. Inilah antara usaha Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam melahirkan pendakwah yang mencerminkan ummah Madani," katanya.
Mengulas berhubung kes melibatkan seorang penceramah bebas yang disyaki terlibat dengan penyebaran video seks, beliau berkata isu itu memberikan implikasi negatif bukan sahaja mencemarkan maruah individu yang terlibat, tetapi turut memburukkan imej institusi dakwah serta menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap agamawan.
Beliau turut menggesa masyarakat supaya memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh dan adil serta tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman secara umum.
"Pada masa yang sama, kita mesti menolak sekeras-kerasnya budaya saling mengaibkan, lebih-lebih lagi dengan tujuan untuk meraih pengaruh atau perhatian," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang penceramah bebas yang disyaki menyebarkan beberapa video seks serta foto mengaibkan isterinya dan wanita lain.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami