SEREMBAN: Seramai 228,275 orang daripada 1.1 juta penduduk di Negeri Sembilan sudah mendaftar untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, namun Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun menganggap jumlah itu, masih rendah.

Justeru Aminuddin meminta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Pusat Khidmat dan Komuniti Rukun Tetangga, untuk memperbanyakkan lagi kempen kesedaran mengenai keperluan vaksin COVID-19, dalam kalangan komuniti di negeri itu.

"Sehingga semalam seramai 12,865 daripada 19,249 orang petugas barisan hadapan di negeri ini telah menerima suntikan vaksin COVID-19, bagi fasa pertama ini.

"Bagi fasa kedua penerimaan vaksin di negeri ini akan melibatkan 138,543 orang pesakit kronik dan warga emas, manakala fasa ketiga melibatkan individu berusia 18 tahun ke atas seramai 691,608 orang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini.

Aminuddin berkata kerajaan negeri juga akan mengadakan perjumpaan dengan kesemua 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu minggu hadapan, bagi membincangkan isu berkaitan COVID-19 serta perkara berkaitan.

-- BERNAMA