KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan membantah permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggantung prosiding kes menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapi Presiden Bersatu itu di Mahkamah Sesyen di sini.

Menerusi afidavit balasan pendakwaan yang diperoleh media hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Lim Wai Keong berkata pihaknya membantah, antaranya atas alasan pemohon (Muhyiddin) cuba melengahkan kes itu untuk didengar dan dibicarakan di Mahkamah Sesyen dengan memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Rayuan walaupun rayuan beliau di mahkamah itu telah selesai pada 28 Feb lepas.

"Tiada alasan memaksa (compelling reason) dan kepentingan awam yang kuat dalam kes ini memerlukan prosiding di Mahkamah Sesyen digantung sementara menunggu permohonan semakan pemohon (Muhyiddin) didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

"Oleh itu pendakwaan mohon agar Mahkamah Sesyen menolak permohonan pemohon dan meneruskan prosiding kes di mahkamah ini tanpa berlengah-lengah lagi," kata Lim dalam afidavit yang difailkan semalam (23 Mei).

Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Azura Alwi pada 13 Jun ini.

Lim berkata permohonan semakan yang difailkan Muhyiddin adalah remeh dan menyalah guna proses mahkamah, kerana tiada keadaan luar biasa untuk mewajarkan Mahkamah Rayuan menyemak semula keputusan yang telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan terdahulu.

Permohonan semakan itu akan didengar di hadapan lima panel hakim Mahkamah Rayuan pada 9 Julai ini.

Pada 28 Feb lepas Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan pendakwa raya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan salah guna kedudukan bagi mendapatkan suapan berjumlah RM232.5 juta untuk Parti Bersatu berkaitan Projek Jana Wibawa.

Muhyiddin, 76, sebagai perdana menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Beliau juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac tahun lepas atas satu lagi pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

-- BERNAMA