TAPAH: Sebanyak 39 daripada 131 pendatang asing tanpa izin yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor di sini pada Khamis lepas, telah ditahan setakat 8 malam ini.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Mohd Naim Asnawi berkata jumlah berkenaan termasuk 32 orang yang ditahan dalam operasi hari ini.

Beliau berkata berkata melalui operasi antara 6 pagi hingga 12.30 tengah hari tadi, pihak polis telah menahan tiga lelaki Rohingya di sekitar Kampung Batu Melintang dan ladang kelapa sawit di Kampung Senta, di sini.

Menurutnya pada 12.30 tengah hari juga, empat lagi lelaki Rohingya ditahan di kawasan hutan Bidor, manakala seorang lelaki warga Bangladesh dan sembilan lelaki Rohingnya ditahan di Bukit Tapah berhampiran Kampung Sungai Kenoh antara 2 hingga 3 petang.

"Sebanyak 13 lagi lelaki Rohingya ditahan di Kampung Senta dan seorang ditahan di Kampung Pos Gedong, Bidor," katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Naim berkata polis turut menahan seorang lelaki warga Rohingya pada 7.25 petang tadi di Kampung Bermin, di sini.

"Kesemua penahanan dibuat oleh polis dan hasil maklumat orang ramai. Polis percaya masih ramai tahanan yang lolos itu berada di hutan serta kampung sekitar kawasan Tapah dan Bidor," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilapor berkata 37 tahanan berjaya diberkas setakat 6 petang tadi.

-- BERNAMA