PETALING JAYA: Usaha bersepadu melibatkan komuniti dan inisiatif penjagaan kesihatan kerajaan diperlukan bagi memastikan Malaysia bersedia menghadapi cabaran demensia menjelang 2030, susulan peningkatan populasi warga emas di negara ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib.
Beliau berkata dengan 15 peratus penduduk Malaysia dijangka berusia 60 tahun ke atas menjelang 2030, demensia kini menjadi antara punca utama kebergantungan dalam kalangan warga emas.
Hanifah berkata walaupun pelbagai dasar dan kerangka tindakan disediakan, usaha meningkatkan kesiapsiagaan negara tidak bergantung kepada dasar semata-mata, sebaliknya perlu disokong penglibatan komuniti dan keluarga.
“Sebab itulah inisiatif seperti Pelan Tindakan Demensia Kementerian Kesihatan 2023-2030 amat penting kerana ia memberi tumpuan kepada pengesanan awal, penjagaan yang sewajarnya serta sokongan komuniti.
“Namun, Malaysia yang bersedia menghadapi cabaran demensia tidak boleh dibina menerusi hospital dan klinik semata-mata, sebaliknya memerlukan keluarga berpengetahuan, penjaga terlatih, petugas penjagaan berkemahiran serta komuniti setempat yang saling menyokong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Perdana Membuka Harapan bagi Penyakit Alzheimer: Kursus Latihan Kemahiran Penjagaan Demensia serta Pelancaran Kempen Kesedaran Demensia Kebangsaan di Sunway Medical Centre, di sini semalam.
Sebagai sebahagian daripada usaha menterjemah dasar kepada tindakan, beliau turut melancarkan Dementia Care Champions Network, yang bertujuan menempatkan individu terlatih di kawasan kejiranan dan tempat kerja bagi menyediakan panduan serta sokongan awal kepada keluarga berdepan dengan demensia.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada 200 penjaga, petugas penjagaan dan jurulatih yang menamatkan latihan menerusi inisiatif Alzheimer's Disease Foundation Malaysia (ADFM) dan Rotary International Global Grant initiative.
Hanifah berkata pembangunan tenaga kerja berkemahiran dengan laluan kerjaya yang jelas amat penting dalam menyokong agenda penuaan sihat negara.
“Apabila kita melatih seorang penjaga, kita memperkukuh sebuah keluarga, dan apabila kita menyokong keluarga, kita sedang membina sebuah negara yang menggalakkan penuaan sihat, termasuk Malaysia yang bersedia menghadapi cabaran demensia,” katanya.
Beliau turut menggalakkan penjaga memupuk amalan gaya hidup pencegahan seperti pemakanan seimbang, rangsangan minda dan penglibatan dalam aktiviti sosial bagi menyokong penuaan yang lebih sihat dalam kalangan rakyat.
-- BERNAMA