SUNGAI DUA: Penduduk beberapa kawasan di tiga daerah di Pulau Pinang  akan mengalami gangguan bekalan air  berjadual selama 48 jam berikutan  kerja-kerja penyelenggaraan di loji rawatan air (LRA) Sungai Dua bermula Jumaat.

Gangguan bekalan air bermula jam 10  malam Jumaat hingga Sabtu itu melibatkan 197,851 akaun pengguna di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

Daripada jumlah itu, 24,615 akaun air akan mengalami tekanan air rendah, manakala 173,236 akaun akan terputus bekalan air.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata,  Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan melakukan kerja-kerja pembaikan melibatkan penggantian injap 1,200 milimiter (mm) dan 1,350mm di LRA Sungai Dua.

"Kerja pembaikan paip berukuran 1,200 mm di Permatang Ara pula adalah paling kritikal dan mengambil masa  iaitu selama 18 jam.

"Gangguan selama 48 jam dijangka dapat dipulihkan awal sekiranya kerja-kerja di lapangan berjalan lancar," katanya pada sidang media semasa lawatan di LRA Sungai Dua,di Butterworth pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi PBAPP, Ir K.Pathmanathan memberi jaminan kerja kerja pembaikan di LRA Sungai Dua  serta dua lokasi lain akan berjalan dengan lancar dan siap mengikut jadual ditetapkan.

Jelasnya, PBAPP telah membuat perancangan awal bagi mengelak gangguan bekalan air berterusan.

Selain itu, PBAPP bersama  Kerajaan negeri juga turut menyediakan bantuan bekalan air melalui  lori tangki air selepas 12 jam gangguan bekalan air berlaku.