Penduduk bukan warganegara di Sabah menurun 0.32 peratus tahun lepas

Bilangan penduduk bukan warganegara di Sabah mencatatkan penurunan 0.32 peratus kepada 1,040,200 orang pada tahun lepas, berbanding 1,043,600 orang pada tahun sebelumnya. - Foto hiasan/Google Maps
KOTA KINABALU: Bilangan penduduk bukan warganegara di Sabah mencatatkan penurunan 0.32 peratus kepada 1,040,200 orang pada tahun lepas, berbanding 1,043,600 orang pada tahun sebelumnya.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Sabah memaklumkan data tersebut berdasarkan penerbitan Statistik Migrasi Antarabangsa 2025 yang dikeluarkan pada 24 Dis tahun lepas.
Menurut kenyataan itu, walaupun Sabah merekodkan bilangan penduduk bukan warganegara tertinggi berbanding negeri lain bagi tempoh 1991 hingga 2025, jumlah tahun lepas masih belum melepasi rekod tertinggi yang dicatatkan pada 2018 iaitu 1,158,000 orang.
"Sandakan mencatatkan bilangan penduduk bukan warganegara paling ramai pada 2025 iaitu 195,100 orang, diikuti Tawau (142,900 orang) dan Kota Kinabalu 125,400 orang," menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut DOSM, berdasarkan komposisi penduduk, Kinabatangan mencatatkan peratusan penduduk bukan warganegara tertinggi iaitu 72.9 peratus diikuti Kalabakan (69.3 peratus) dan Kunak (53.4 peratus).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


