KULIM: Orang ramai di kawasan Taman Kemuning, di sini, cemas apabila seorang wanita yang mempunyai masalah kesihatan mental mengamuk sambil memegang dua bilah pisau pemotong sayur pada kedua-dua tangannya malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, wanita berusia 34 tahun terbabit dipercayai merosakkan beberapa kenderaan menggunakan pisau sambil menjerit sebelum memasuki sebuah restoran di kawasan tersebut.
Menerusi video yang tular di media sosial, beberapa individu yang berada di dalam restoran itu dilihat bertempiaran lari kerana bimbang dicederakan.
Suspek bagaimanapun berjaya ditahan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim yang tiba di lokasi sejurus menerima maklumat berhubung kejadian.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, seorang pengadu yang merupakan pekerja kilang memaklumkan wanita itu bertindak memecahkan cermin besar dan lampu bahagian belakang kereta jenis Perodua Myvi miliknya.
Katanya, kejadian berlaku ketika pengadu berada di sebuah kedai burger, manakala keretanya diletakkan di bahu jalan berhampiran deretan kedai di perumahan berkenaan.
"Tiba-tiba datang seorang wanita yang tidak dikenali sebelum menghampiri kenderaan pengadu dan memecahkan cermin besar bahagian belakang serta lampu belakang kereta berkenaan.
"Suspek dipercayai menggunakan pisau pemotong sayur yang dipegang pada kedua-dua belah tangan ketika melakukan perbuatan tersebut," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Syamsul berkata, anggota MPV yang menerima maklumat kemudian tiba di lokasi dan menahan suspek untuk tindakan lanjut.
"Suspek yang ditahan mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) mental dan mempunyai sejarah menerima rawatan psikiatri di Hospital Kulim sejak 2012 sehingga sekarang. Suspek kali terakhir mendapatkan rawatan di hospital berkenaan pada Jun lalu," ujarnya.
Tambahnya, suspek yang masih bujang kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim dengan bantuan pihak polis bagi mendapatkan rawatan.
"Wanita itu diberikan jaminan polis selepas dijemput ahli keluarganya sebelum dihantar ke hospital dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.