MALAYSIA
Penduduk flat serah memorandum sokong RUU PSB

Nga menerima memorandum menyokong RUU PSB di hadapan bangunan Parlimen di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: "Kediaman kami usang dengan pelbagai kerosakan selain ancaman haiwan perosak serta bintang berbisa."
Itu luah penduduk flat di ibu negara apabila kediaman yang dihuni sejak sekitar tahun 80 hingga 90-an semakin dimamah usia selain kekangan fasaliti terutama ketiadaan lif yang menyukarkan penghuni terutama warga emas untuk ke tingkat atas.
Pengerusi Penduduk Taman Sri Indah di Bukit Jalil, Rahimah Abdul Ghafor, 71 berkata, dia telah menetap di flat terbabit selama kira-kira 30 tahun sejak tahun 90-an hingga kini.
Katanya, apabila flat sudah menjangkau usia begitu lama, banyak kerosakan berlaku pada pendawaian dan wayar, kebocoran saluran najis dan bumbung, longkang pecah dan lain-lain."Kita tidak boleh tunggu lama. Rumah sudah teruk sangat. Macam mana hendak duduk kalau rumah macam ini.
"Kita hendak duduk pun takut dengan keadaan rumah, warga asing dan sebagainya. Ramai yang tinggal sini hanya warga emas dan kita mahukan rumah yang sesuai.
"Keadaan rumah sekarang banyak sudah bocor, longkang pecah. Ada juga banyak kes binatang berbisa seperti ular," katanya ketika ditemui pemberita di hadapan bangunan Parlimen di sini dalam Himpunan Menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau Urban Renewal Act (URA) hari ini.
Dalam himpunan bermula kira-kira jam 10 pagi itu, satu memorandum tanda sokongan RUU berkenaan telah diserahkan penduduk kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Difahamkan, mereka yang berhimpuan melibatkan penghuni flat Taman Sri Indah, Taman Desa Bakti Selayang serta Taman Maluri.
Sementara itu, bagi S Vijayan, 65, RUU ini tidak merugikan kerana dia sekeluarga boleh mendapat kediaman yang selesa.
Jelasnya, boleh bayangkan keadaan rumahnya di flat lima tingkat yang sudah diinap sejak 1983.
"Rumah sudah teruk. Kenapa ada bantahan (RUU). Ia tiada yang merugikan. Flat tiada lif, saya sendiri tidak boleh duduk di situ sebab kaki sakit akibat kemalangan, susah hendak naik tangga," ujarnya.
Bagi penghuni Flat Taman Sri Indah, Fong Yew Seng, 85, dia bersama isteri dan dua anaknya sudah menetap kira-kira 40 tahun.
"Keadaan rumah sudah teruk, tiada kemudahan lif, bumbung dan dinding juga sudah rosak.
"Kami harap YB (Kor Ming) boleh approve (terima RUU). Harap boleh dilakukan pembinaan semula untuk kediaman lebih selesa," katanya.
Dalam pada itu, Kor Ming yang menerima memorandum sokongan RUU berkenaan berkata, beliau mahukan politik yang membina.
"Apa yang penting, kita berjaya membantu rakyat," katanya.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan RUU PSB tidak akan menjejaskan tanah rizab Melayu, komuniti tradisional mahupun keseimbangan etnik di kawasan bandar.
Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Datuk Dr Alias Rameli dilaporkan berkata, RUU PSB sama sekali tidak mengambil alih kuasa negeri dalam urusan tanah dan perancangan bandar, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara serta Akta Perancangan Bandar dan Desa. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami