Skip to main content

Sukan

Piala Thomas: Perancis semakin hampir lakar sejarah, bertemu juara bertahan China di final

HORSENS (Denmark), May 3 -- France’s men’s singles player Toma Junior Popov celebrates with teammates after defeating Prannoy H.S of India with 21-19, 21-16 in their quarter-final match, helping France to the finals of the BWF Thomas and Uber Cup Finals 2026 at Forum Horsens on Saturday.  --fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Pemain perseorangan lelaki Perancis, Toma Junior Popov, meraikan kemenangan bersama rakan sepasukan selepas menewaskan Prannoy H.S dari India 21-19, 21-16 dalam aksi suku akhir. - Foto BERNAMA

HORSENS: Perancis semakin hampir mencipta sejarah selepas menewaskan juara 2022 India 3-0 pada aksi separuh akhir Piala Thomas pada Sabtu, sekali gus mara ke final pertama mereka di Forum Horsens di sini hari ini.

Pencabar mereka untuk menjulang kejuaraan ialah juara bertahan China, yang menghampakan harapan penyokong tuan rumah dengan kemenangan 3-0 ke atas Denmark.

Advertisement

Perancis jelas menguasai permainan sejak awal apabila perseorangan utama yang juga pemain nombor empat dunia Christo Popov mempamerkan aksi cemerlang untuk menewaskan pemain sedang meningkat naik India yang berada di ranking ke-18 dunia Ayush Shetty 21-11, 21-9 dalam masa hanya 39 minit.

Pemain nombor 10 dunia Alex Lanier kemudian mengukuhkan cengkaman Perancis dalam perlawanan itu apabila menundukkan pemain berpengalaman Kidambi Srikanth 21-16, 21-18 untuk meletakkan pasukannya dalam kedudukan kukuh.

Perseorangan ketiga Toma Junior Popov pula kekal tenang untuk menewaskan H.S. Prannoy 21-19, 21-16 dalam tempoh 48 minit, sekali gus membawa Perancis ke final.

Christo ketika ditemui selepas perlawanan berkata beliau gembira dengan prestasi pasukan, sambil memuji rakan sepasukan yang mempamerkan aksi kemas dan fokus.

“Ia adalah kejohanan yang sangat panjang dan secara mentalnya amat mencabar. Jadi, kami akan terus berusaha dan saya fikir semangat berpasukan kami sangat baik dan itu akan mendorong kami esok,” katanya.

Sementara itu, pemain nombor satu dunia Shi Yu Qi melakukan permulaan baik buat China apabila mengatasi pemain nombor tiga dunia dan pilihan tuan rumah Anders Antonsen, 21-16, 21-5.

Dalam perlawanan kedua, beregu utama China Liang Wei Keng-Wang Chang menjadikan kedudukan 2-0 apabila menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-18, 21-17 dalam tempoh 34 minit.

Pemain nombor tujuh dunia Li Shi Feng mengesahkan kemenangan China apabila bangkit menewaskan pemain nombor 41 dunia Magnus Johannesen 21-19, 18-21, 21-9 dalam tempoh 73 minit, sekali gus menempah slot ke final.

Shi Feng mengakui sokongan padu penyokong tuan rumah menambah tekanan, namun berkata beliau berasa lega kerana kekal tenang dalam permainan penentuan dan menamatkan perlawanan itu, sambil menambah pasukannya bersedia untuk menghadapi Perancis di pentas akhir.

Final Piala Thomas 2026, yang bermula pada 24 April akan berakhir hari ini.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video