Orang ramai dan penduduk di sekitar Jalan Leong Boon Swee, di sini gempar apabila seorang lelaki yang dipercayai sakit mental, mengamuk sambil menghayun dua bilah parang di rumahnya, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada sekitar 5 petang itu, perbuatan lelaki berusia 36 tahun tersebut yang mengamuk disedari oleh ibunya sendiri.

Mengesahkan kejadian itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superitendan Abdul Rani Alias berkata, polis menerima aduan daripada wanita berusia 56 tahun itu yang bimbang dengan keselamatan dirinya.

“Pengadu yang merupakan ibu suspek berada di dalam rumah. Dia bimbang melihat anaknya mengamuk lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh. Anggota kita terus dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Apabila tiba di tempat kejadian, polis mendapati suspek memegang dua bilah parang berukuran 70 dan 72 sentimeter,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Balai Polis Pasir Putih di sini, hari ini.

Menurut Abdul Rani, anggota polis cuba memujuk suspek untuk meletakkan senjata tersebut namun lelaki itu terus melarikan diri ke arah Sungai Pari.

“Berlaku sedikit pergelutan ketika cuba memujuk dan menahan lelaki itu selama satu setengah jam namun akhirnya suspek berjaya ditahan oleh anggota polis,” katanya lagi.

Menurutnya, polis berjaya menahan suspek pada pukul 7 malam sebelum dibawa ke IPD Ipoh untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki tersebut pernah ditahan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan kerana masalah mental.

“Suspek juga mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan satu kes jenayah dan dua kes dadah.

“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.