Penduduk Pangsapuri Taman Seri Jati di Taman Balakong Jaya 2, Serdang menggesa pihak berkuasa menyelesaikan masalah pembuangan sisa bahan kimia yang berlarutan sejak Februari tahun lalu.

Mereka mendakwa pembuangan sisa kimia yang mengeluarkan bau busuk itu turut menjejaskan kesihatan penduduk di kawasan berkenaan.

Tinjauan Astro AWANI mendapati kolam takungan berdekatan bertukar menjadi warna putih dan mengeluarkan bau busuk dipercayai bahan buangan sisa kimia dari kilang berdekatan.

Menurut penghuni Taman Seri Jati, Mohd Ali Khari Abdul Ghafar, beliau sudah membuat aduan rasmi berhubung masalah itu kepada Jabatan Alam Sekitar cawangan Kajang pada Februari 2015.

Tambahnya lagi pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan sampel yang diambil daripada kolam takungan berdekatan pangsapuri mereka mengandungi bahan kimia.

"Kami juga ingin tahu daripada pihak JAS untuk jangka masa pendek dan panjang mengenai kesan dan risiko terhadap sisa kimia ini kepada penduduk di kawasan ini.

"Namun pihak JAS tidak pernah menghubungi pihak kami untuk menjelaskan perkara dan masalah ini. Kesan sekarang kami hadapi akibat masalah ini ialah segelinitir daripada kami mengalami tekak kering dan rasa gatal", katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Mohd Ali, aktiviti pembuangan sisa kimia itu masih berlaku dan pihak berkuasa masih belum mengambil sebarang tindakan walaupun beberapa aduan sudah dibuat.

Sementara itu, seorang lagi penghuni Taman Seri Jati, Abdul Manaf Mahamod berkata, beliau khuathir kolam takungan yang terletak berdekatan dengan taman permainan kanak-kanak akan mendatangkan mudarat dari segi kesihatan.

"Benda ini dah banyak kali berlaku, jadi saya harap tolong ambil tindakan segera, itu harapan kami di sini.

"Jadi saya rasa memang tidak adil pihak kilang iaitu pemilik cuba mengambil keuntungan dan penduduk di sekitar ini terpaksa menanggung risiko kesihatan dan ini memang tidak adil bagi kami", katanya.

Beliau menyeru agensi yang berkaitan termasuk JAS dan Pihak Berkuasa Tempatan mengambil tindakan kepada pengusaha kilang sekiranya melanggar peraturan.

Dalam isu berkaitan, kejadian pembuangan sisa kimia ke kolam takungan berhampiran kawasan pangsapuri Taman Seri Jati didakwa berpunca daripada kesilapan pekerja kilang.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong Jaya, Ng Tien Chee, pihak pengurusan kilang yang terbabit memberi jaminan akan membuat penjelasan serta memohon maaf kepada penduduk pada minggu hadapan.

Beliau memaklumkan bahawa pihak pengurusan kilang terbabit telah menghubunginya pada sabtu untuk menjelaskan perkara terbabit.

"Kilang beliau ada memasang peralatan yang telah disyorkan oleh Jabatan Alam Sekitar sedangkan kali ini adalah kesilapan pekerjanya maka dia pun memohon maaf.

"Bagi saya, pengusaha kilang ini adalah seorang yang bertanggungjawab kerana dia sendiri pergi membuat laporan kepada JAS dan dia mengambil insiatif untuk menghubungi saya untuk menjemput mereka ke kilang dia untuk dapatkan penjelasan", katanya ketika dihubungi Astro Awani hari ini.

Mengulas kekerapan berlakunya aktiviti pembuangan sisa kimia di kawasan itu, Ng Tien menjelaskan beliau akan mendengar penjelasan pengusaha kilang itu sebelum mengambil sebarang tindakan.

Pada masa sama, beliau meminta penghuni pangsapuri yang terjejas susulan insiden itu untuk bersabar dan memberi jaminan akan membantu mengambil tindakan sewajarnya jika pengusaha kilang terbabit didapati gagal mematuhi undang-undang yang ditetapkan.