KLANG: Penduduk Taman Sungai Sireh di sini membantah dan tidak puas hati terhadap pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di kawasan penempatan mereka.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar mendakwa, sebelum ini penduduk telah menghantar surat bantahan rasmi kepada pihak berkenaan, namun tidak mendapat sebarang maklum balas.

Dakwanya lagi, penduduk Taman Sungai Sireh pada mulanya tidak tahu mengenai penempatan mereka terlibat dengan projek ECRL sehingga Ogos tahun lalu selepas media melaporkan projek itu diteruskan di kawasan berkenaan.

“Tiada mana-mana pihak berkepentingan datang memaklumkan secara berjumpa terus atau melalui surat rasmi bahawa ECRL akan mengenai rumah penduduk dan sudah mula membuat kerja mengukur tanah serta penandaan di kawasan taman.

“Pewartaan tanah telah dikeluarkan malah kediaman penduduk akan diambil oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan kerajaan negeri, namun penduduk terkilan kerana tidak dipanggil atau dimaklumkan oleh mana-mana wakil.

“Sehinggalah penduduk taman tubuh jawatankuasa bertindak untuk bertemu dengan MRL, baharulah mereka tahu jajaran projek ECRL ini melalui taman mereka serta jumlah rumah yang akan terkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Mohamed Sukri berkata, satu memorandum juga telah diserahkan kepada Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali untuk tindakan lanjut.

Katanya, jika tiada maklum balas pihak jawatankuasa akan menghantar surat bantahan kepada Kementerian Pengangkutan dan kerajaan negeri.

"Jika tidak berhasil juga, satu perhimpunan aman akan dibuat di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (Selangor).

"Sebelum isu ini lebih menyusahkan dan membuat penduduk lebih kecewa, perlu ada ruang untuk pihak kerajaan dengar suara hati rakyat dan perhalusi semula isu ini jika masih ada harapan kediaman penduduk Taman Sungai Sireh tidak diambil untuk projek ECRL ini," katanya.

Beliau menambah, rakyat tidak akan membantah sebarang usaha pembangunan dan kemajuan negara, namun kehidupan dan kebajikan rakyat tidak patut dikorbankan tanpa ada sebarang pembelaan dan ruang. -Sinar Harian