Penerbangan bawa jenazah pegawai VAT 69 tiba di Ipoh petang ini

PGA menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi mengiringi penghantaran pulang jenazah di Lapangan Terbang Tawau, hari ini. - Foto FB PGA
KUALA LUMPUR: Penerbangan membawa jenazah pegawai Unit VAT 69 Komando Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin, yang meninggal dunia semasa menjalani latihan menyelam di Sabah semalam, dijangka tiba di Ipoh, Perak, petang ini.
Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi mengiringi penghantaran pulang jenazah di Lapangan Terbang Tawau, hari ini.
"Allahyarham yang berasal dari Gopeng, Perak dibawa menaiki pesawat C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Lapangan Terbang Ipoh sebelum dibawa ke Masjid Saidina Abu Bakar Briged Utara PGA untuk disolatkan," menurut hantaran itu.
Menurut hantaran itu pengebumian secara istiadat akan dilaksanakan di Tanah Perkuburan Bakar Bata Tanjung Rambutan, petang ini.
Media sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata siasatan terperinci akan dijalankan berhubung insiden yang berlaku di perairan Pulau Mataking, Semporna, Sabah, semalam
Siasatan itu bagi mengenal pasti punca kejadian, termasuk penilaian terhadap prosedur latihan, penggunaan peralatan serta faktor kesihatan dan keselamatan, selaras dengan peraturan dan tatacara operasi standard yang ditetapkan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


