MEKAH: Penerbangan bagi 56 jemaah haji Malaysia daripada kumpulan KT043 yang sepatutnya berlepas ke Tanah Suci semalam dijangka tiba di Madinah esok, waktu Arab Saudi.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kesemua mereka bersama dua petugas Tabung Haji dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah jam 9.25 malam ini waktu tempatan.

"Dari Kuala Lumpur mereka berlepas dan diterbangkan dengan menggunakan pesawat komersial Saudi Airlines pada pukul 5.35 petang (waktu tempatan) pada Khamis.

"Kemudian (mereka) akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah terlebih dahulu dan transit selama dua jam sebelum penerbangan yang diatur khas Saudi Airlines berlepas pada pukul 9.25 malam dan dijangka tiba jam 12.35 tengah malam (waktu tempatan) pada 25 Mei," kata beliau dalam satu sidang media kepada petugas media di ibu pejabat TH di Mekah.

Beliau berkata, pesawat yang sepatutnya mereka naiki mengalami masalah teknikal dan pesawat gantian hanya mampu memuatkan 298 penumpang sahaja.

Justeru, ujar beliau, Lembaga Tabung Haji (TH) membuat keputusan menempatkan 56 jemaah dan dua petugas terbabit menaiki pesawat komersial.

Sebelum ini, pesawat Saudi Airlines SV5091 yang dijadual berangkat ke Tanah Suci pada jam 6.30 pagi Khamis dengan muatan sebanyak 353 orang dari balai pelepasan Movenpick Hotel and Convention Centre (MHCC) Sepang, dilaporkan mengalami masalah teknikal.

Walaupun terpaksa dijadualkan semula, ia tidak menjejaskan jadual penerbangan bakal haji yang lain.

Sementara itu, Syed Saleh berkata, kesemua jemaah yang terlibat dengan penjadualan semula penerbangan akan mengikuti aktiviti di Madinah sebagaimana dijadualkan untuk mereka.

"Ini termasuk, mereka akan berada di kota Madinah selama 6 hari 5 malam dan mengikuti ziarah luar dan dalam sebagaimana yang diatur kepada jemaah-jemaah lain," ujar beliau.