ATHENS: Operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran dijalankan pada malam Ahad selepas sebuah bot migran yang membawa sekurang-kurangnya 77 orang terbalik dan karam kira-kira 38 batu nautika di selatan Gavdos, sebuah pulau Greece di selatan Crete, menurut penyiar nasional Greece ERT, lapor Xinhua.
Pihak berkuasa Greece memaklumkan 52 orang berjaya diselamatkan, manakala sekurang-kurangnya 25 lagi masih hilang. Seorang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Beberapa kapal milik Pengawal Pantai Greece dan Agensi Pengawal Sempadan dan Pantai Eropah (Frontex), selain sebuah helikopter Tentera Udara Greece serta pesawat Frontex, terbabit dalam operasi menyelamat itu.
Bot berkenaan dilaporkan terbalik sebelum karam.
Pihak berkuasa Greece belum mengeluarkan maklumat mengenai jenis bot itu atau kewarganegaraan mereka yang berada di dalamnya.
Gavdos ialah pulau berpenghuni paling selatan di Greece dan terletak di selatan Crete di Laut Libya.
Perairan di selatan pulau itu menjadi antara laluan utama bot migran yang menuju ke Greece dari Afrika Utara.
Operasi pencarian masih diteruskan pada malam Ahad.
-- BERNAMA-XINHUA