PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) berharap agar lebih banyak penerbit filem tempatan berkolaborasi dengan industri perfileman luar negara, dalam meningkatkan kreativiti dan kualiti industri kreatif Malaysia.

Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata perkara itu juga dapat memastikan filem tempatan berada di arena antarabangsa, selari dengan inisiatif 'Road To Oscars'.

"Kementerian sedang laksanakan program 'Road To Oscars', yang mana kita mahu filem yang kita keluarkan berkualiti dan ada sentuhan antarabangsa.

"Hari ini, kita amat berterima kasih kepada Hundred Years Popcorn Production Sdn Bhd, kerana sudah bekerjasama dengan negara Korea bagi pembikinan filem The Lord Musang King. Di peringkat kementerian kita beri sokongan dan harap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bantu seberapa yang boleh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis prapelancaran filem The Lord Musang King di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai filem tersebut, Zahidi berkata, filem itu juga menjadi platform dalam mempromosikan pelancongan Malaysia dengan mengetengahkan lokasi menarik serta buah durian Musang King.

"Ini juga usaha rakyat Malaysia untuk promosi Musang King ke luar negara dengan buat filem yang ada sentuhan pelancongan serta kempen buah-buahan tempatan," katanya.

Beliau juga berkata, industri hiburan Korea yang begitu popular dan mendapat tempat di seluruh dunia juga menjadi kelebihan buat filem ini.

"Ramai rakyat Malaysia telah terpengaruh dengan industri hiburan Korea sejak sekian lama. Dengan memperkenalkan campuran budaya Korea dan Malaysia kepada dunia menerusi filem 'The Lord Musang King', saya percaya ia akan mecetuskan minat kepada kandungan tempatan dan budaya di peringkat antarabangsa serta menwujudkan permintaan terhadap produk Malaysia," katanya.

Filem aksi berbahasa Melayu terbitan Hundred Years Popcorn Production Sdn Bhd itu dihasilkan oleh Penerbit Eksekutif, Ong Peng Chu, Penerbit Bersekutu, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar serta Penerbit Eddie Chow dan diarahkan oleh pengarah dari Korea Lee Moon Ho.

Filem yang melibatkan kos pembikinan sebanyak RM2.5 juta serta melibatkan 95 peratus kru dan pelakon tempatan itu, dijangka ditayangkan pertengahan tahun hadapan.

Dalam perkembangan lain, Zahidi menafikan dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang meminta kerajaan menghentikan pemasangan menara telekomunikasi 5G di kawasan berhampiran perumahan, kerana didakwa mampu memberi kesan kepada kesihatan.

"Tidak ada masalah kesihatan, tidak ada laporan bahawa 5G akan memudaratkan kesihatan," tegasnya. - BERNAMA