IPOH: Sebagai usaha memantapkan pentadbiran dan perundangan dalam institusi kehakiman Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak mengorak langkah menerusi penerbitan Jurnal Syariah Perak, Al-Qanun.

Ketua Hakim Syarie Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor berkata jurnal yang julung kali diterbitkan itu mengandungi artikel analisis sejarah ilmu al-Qadi berkenaan kedudukan dalam hukum syarak dan pemakaiannya di mahkamah syariah Malaysia, alasan serta ulasan penghakiman.

Katanya jurnal yang akan diterbitkan secara berkala setiap tahun bermula pada tahun ini itu hasil kerjasama strategik daripada Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Dalam Pelan Strategik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) 2016 hingga 2021, di bawah tugas utama Jabatan Kehakiman Syariah Perak telah menggariskan dimensi keutuhan undang-undang Islam, iaitu dengan mewujudkan enakmen khas bagi Mahkamah Syariah Perak dan sistem keadilan empat peringkat.

“Alhamdulillah, kedua-dua strategi ini telah berjaya dilaksanakan dengan pewujudan Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) 2018 dan (Pindaan) 2021 serta penubuhan Mahkamah Utama Syariah Perak pada tahun 2019.

“Manakala bagi pelan strategik di bawah dimensi pemantapan pentadbiran dan perundangan Islam, iaitu mewujudkan Mahkamah yang memenuhi aspek ‘Syariah Compliance, Mastery, Accountability, Respectable, Technology’ atau singkatannya SMART. Antara pelan tindakannya adalah menerbitkan Jurnal Syariah Perak.

“Penghargaan juga kepada MAIPk yang banyak membantu dalam urusan penerbitan jurnal syariah ini dari segi sumbangan dana dan buah fikiran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jurnal Syariah Perak Al-Qanun Jilid 1 2022 di Meru Raya dekat sini pada Isnin.

Pelancaran Jurnal Syariah Perak Al-Qanun Jilid 1 itu telah disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Selain itu, Ab Rahman Thobroni berkata, di bawah aspek SMART sebanyak dua tindakan telah diambil pihaknya  iaitu membangunkan sistem elektronik kehakiman syariah Perak yang dikenali e-KSPERk serta mewujudkan pusat khidmat setempat atau ‘one stop centre’ di Ibu Pejabat.

“Kedua-dua projek ini, yang menelan belanja hampir RM 1.2 juta. Ucapan, setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan negeri, yang sentiasa cakna akan keperluan jabatan.

"Aspek pemerkasaan undang-undang syariah juga sentiasa dijalankan melibatkan subsentif dan subsidiari antaranya mengkaji keperluan, memperuntukkan punca kuasa dan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam Undang-undang Tubuh Negeri," tambah beliau.