Dua pengacara AWANI Junior (AWANIJr) Terengganu bakal menggalas cabaran negeri dalam pertandingan Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) peringkat kebangsaan tahun hadapan.

Nur Aien Nadhirah Azlie dari Sekolah Kebangsaan Bandar Dungun dan Yasmin Syafiqah Mohd Yusof dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Gong Badak membawa cabaran itu selepas dinobat sebagai tokoh Nilam Negeri Terengganu.

Menerusi pertandingan itu Nur Aien Nadhirah berjaya merangkul kejuaraan dalam kategori Sekolah Rendah Bahasa Melayu manakala Yasmin Syafikah pula mengungguli dalam kategori sekolah menengah Bahasa Inggeris.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Negeri Terengganu, Alias Talib berkata menerusi program itu mampu memupuk minat pelajar untuk membaca.

Menurut Alias kejayaan yang dicapai ini jelas membuktikan program AWANIJr mampu memberi kesan terhadap percapaian dapn kemenjadian murid- murid.

"Nilam ini bukan hanya tertumpu kepada bacaan sahaja malahan pelajar perlu menguasai pelbagai kemahiran dan sekali gus pelajar ini mempuyai pakej yang lengkap bukan sahaja dalam akademik malah dalam bidang komunikasi.

"Jadi dengan adanya AWANIJr di sekolah maka ruang ini terbuka untuk semua pelajar dan mereka boleh mengasah bakat dan kemahiraan mereka dalam menguasai bidang yang lain,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Nilam peringkat negeri Terengganu sesi 2018/2019.

Hadiah telah disampaikan oleh Pengarah pendidikan negeri Terengganu Shafruddin Ali Hussin.

Seramai 32 calon dari lapan daerah telah bertanding dalam empat kategori iaitu Sekolah Menengah Bahasa Melayu, Sekolah Menengah Bahasa Inggeris, Sekolah Rendah Bahasa Melayu dan Sekolah Rendah Bahasa Inggeris.

AWANIJr adalah inisiatif Astro AWANI untuk menggalakkan pelajar-pelajar sekolah menyertai aktiviti yang mengasah dan menyerlahkan bakat mereka dalam bidang penyiaran serta penerbitan.