KUCHING :Pengambilan tenaga kerja tempatan dalam kalangan graduan Institut Pengajian Tinggi (IPT) dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Perkara ini diketengahkan Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi yang sekali gus melihat ianya dapat mengatasi masalah kelewatan projek pembangunan di Sarawak.

“Saya rasa kita mempunyai banyak siswazah baharu di pasaran yang mencari pekerjaan.

“Oleh itu, sudah tiba masanya kita mendorong mereka terutama dalam kalangan graduan teknikal khasnya, untuk berkembang sebagai kontraktor,” katanya.

Julaihi berkata demikian ketika menghadiri majlis Penutupan Bengkel Pentadbiran Kontrak Penyampaian Kecemerlangan Projek untuk Projek Kerajaan Sarawak di Kuching pada Khamis.

Beliau memberitahu, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP), graduan tempatan perlu bertindak pantas untuk mengisi kekosongan dalam sektor pekerjaan.

Mengambil contoh, kata Julaihi, Sarawak ketika ini sedang rancak membangunkan infrastruktur asas dan perkara ini perlu dimanfaatkan para graduan.

Dalam masa yang sama, tegas Julaihi, kontraktor dan agensi yang terlibat juga harus menyatakan dengan jelas isu-isu yang dihadapi khususnya berkenaan keperluan modal insan dalam sektor berkaitan.

“Dengan itu, orang awam dapat memahami isu kelewatan projek yang timbul dan dalam masa yang sama membuka peluang pekerjaan untuk lepasan IPT,” jelasnya.

Untuk rekod, sebanyak 8,948 projek atau 70.3 peratus daripada 12,729 projek Transformasi Luar Bandar (RTP) telah disiapkan sehingga September 2020 di negeri itu.

Projek ini merangkumi jumlah keseluruhan projek RTP yang dilaksanakan sejak 2014 iaitu RM2.94 bilion.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM37.11 bilion bagi melaksanakan 1,500 buah projek di seluruh negeri itu.