Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Pengampunan Najib kembali jadi agenda Lembaga Pengampunan hari ini

KUALA LUMPUR, 14 Jan -- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Mahkamah Tinggi hari ini bagi menyambung perbicaraan berhubung kes saman SRC International Berhad dan Gandingan Mentari Sdn Bhd.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mesyuarat berkenaan dijangka memberi tumpuan sepenuhnya kepada permohonan pengampunan Najib. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kembali menjadi agenda mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dijadualkan bersidang semula hari ini, hanya seminggu selepas perkara itu ditangguhkan.

Menurut laporan The Straits Times (ST), mesyuarat berkenaan dijangka memberi tumpuan sepenuhnya kepada permohonan pengampunan Najib yang kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Sumber yang dipetik akhbar itu menyifatkan penjadualan mesyuarat khas berkenaan sebagai sesuatu yang luar biasa kerana kebiasaannya urusan mesyuarat Lembaga Pengampunan ditentukan melalui proses yang lebih menyeluruh dan melibatkan pelbagai agenda.

Menurut sumber berkenaan, adalah jarang berlaku mesyuarat diadakan dalam tempoh yang begitu singkat selepas persidangan sebelumnya, lebih-lebih lagi apabila hanya satu perkara dibincangkan.

Pada 11 September lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, telah bermesyuarat bagi mempertimbangkan beberapa perkara termasuk permohonan pengampunan Najib berhubung sabitan dalam kes SRC International.

Bagaimanapun, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan permohonan itu ditangguhkan ke mesyuarat akan datang selepas keputusan dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Najib disabitkan pada Julai 2020 atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan RM42 juta dana SRC International dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Sabitan dan hukuman itu kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022, menyaksikan beliau mula menjalani hukuman penjara.

Pada 2 Februari 2024, Urusetia Lembaga Pengampunan mengumumkan Najib diberikan pengurangan 50 peratus hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Perkembangan mesyuarat hari ini dijangka terus mendapat perhatian ramai memandangkan keputusan yang bakal dicapai boleh memberi implikasi besar terhadap kedudukan hukuman yang sedang dijalani bekas perdana menteri itu.

 

 

Must Watch Video

Advertisement