KEMAMAN: Seorang penganggur direman selama tujuh hari bermula Khamis selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, polis menahan lelaki berusia 21 tahun itu selepas menerima laporan daripada mangsa berkenaan perbuatan terkutuk suspek.

"Berdasarkan laporan, mangsa dijemput oleh seorang kenalan dan dibawa ke rumah kenalan rakannya di Bandar Baru Cheneh kira-kira jam 8 pagi pada 30 November lepas.

"Sebaik tiba di rumah tersebut, mangsa dibawa masuk ke sebuah bilik dan telah dirogol.

"Sebaik sahaja mangsa dihantar pulang, mangsa terus membuat laporan polis di Balai Polis Chukai pada jam 12.37 pagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurut Hanyan, mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. - Sinar Harian