KOTA BHARU: Seorang lelaki warga Thailand ditahan kerana disyaki menyeludup ganja seberat 8.350 kilogram yang dianggarkan bernilai RM25,885 di sebuah rumah di Kampung Kota, di sini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata penganggur berusia 36 tahun itu ditahan pada 7.10 malam semalam dan polis turut merampas lapan balutan plastik berisi ketulan ganja mampat di rumah tersebut.

Bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini, beliau berkata suspek disahkan positif dadah namun tiada rekod jenayah lampau dan jumlah dadah dirampas boleh digunakan oleh 8,350 penagih dadah.

Beliau berkata polis turut menahan dua penganggur lelaki tempatan di tepi jambatan Pasir Mas-Salor di sini kerana memiliki enam botol plastik berisi heroin seberat 26.31 gram serta 10 biji pil kuda seberat 1.0 gram, semalam.

Turut dirampas sebilah parang berhulu kayu berserta sarung, sebuah motosikal dan dadah yang kesemuanya bernilai RM14,210, katanya.

Muhamad Zaki berkata kedua-dua lelaki itu disahkan positif dadah dan masing-masing memiliki tujuh serta dua rekod lampau dadah.

"Kedua-dua lelaki yang masing-masing berusia 39 dan 50 tahun itu direman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dan menambah dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 363 penagih dadah.

-- BERNAMA