SERDANG: Polis mengesahkan telah menerima laporan daripada penganjur acara jualan baju terpakai atau 'bundle' dan penyewa tapak di sebuah pusat membeli-belah di Serdang, Selangor.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, pihaknya mengenal pasti video tular di media sosial berdurasi 1 minit 12 saat yang memaparkan beberapa peniaga baju terpakai itu mengamuk selepas didakwa ditipu oleh penganjur acara jualan berkenaan dengan nilai mencecah RM36,000.

"Polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan yang juga pengurus acara jualan berkenaan berkaitan isu peniaga yang menyewa tidak berpuas hati.

"Peniaga yang menyewa tapak berkenaan tidak berpuas hati dengan penganjur dan meminta untuk dikembalikan wang mereka.

"Laporan polis turut dibuat oleh penyewa dan kedua-dua belah pihak telah dipanggil  polis untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Anbalagan berkata, penganjur acara jualan tersebut membuat laporan untuk rujukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

"Manakala pihak penyewa juga telah mengesahkan akan memulangkan kembali barang yang diambil untuk tujuan cagaran.

"Setakat ini, polis masih lagi menyiasat kejadian tersebut," ujarnya.