KUALA LUMPUR: Sebanyak 120 kes kemalangan maut direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 2023 hingga Jun tahun ini berpunca daripada pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata daripada jumlah itu, 94 kemalangan maut berpunca daripada pengaruh dadah manakala bakinya alkohol.
Beliau berkata bagi menangani masalah itu, JSPT berhasrat untuk berbincang dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mengemukakan cadangan semakan semula hukuman agar lebih tegas dan memberi kesedaran kepada masyarakat.
“Orang ramai seolah-olah tidak serik dan menganggap perkara ini remeh, sedangkan risiko kemalangan menimpa pengguna jalan raya yang tidak bersalah amat tinggi," katanya pada sidang media JSPT di sini hari ini.
Muhammed Hasbullah berkata statistik penguatkuasaan dari Januari hingga Jun 2026 menunjukkan sebanyak 1,634 Ops Mabuk dilaksanakan di seluruh negara, melonjak 136.1 peratus berbanding 692 operasi bagi tempoh sama pada 2025.
Beliau berkata operasi enam bulan pertama tahun ini juga melibatkan 949 tangkapan berbanding 930 tangkapan bagi tempoh sama pada tahun lepas.
“Kuala Lumpur mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi, iaitu 268 kes, diikuti Johor (223 kes), Selangor (182 kes), Sabah (95 kes) dan Sarawak (62 kes).
“Dari segi jantina, majoriti ditahan lelaki, iaitu sebanyak 895 orang atau 94.3 peratus manakala wanita 54 orang (5.7 peratus) selain golongan berusia 31 tahun dan ke atas menyumbang hampir tiga perempat daripada jumlah keseluruhan tangkapan,” katanya.
Muhammed Hasbullah berkata dari segi tindakan perundangan mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987, sebanyak 1,040 kertas siasatan telah dibuka setakat enam bulan pertama tahun ini berbanding 870 pada tahun lepas.
“Jumlah kes dituduh di mahkamah pula meningkat kepada 589 kes tahun ini berbanding 486 kes pada 2025 manakala 414 kes telah dijatuhkan hukuman berbanding 334 kes pada tahun lepas,” katanya.
Mohammed Hasbullah berkata JSPT akan terus memperhebat Ops Mabuk di seluruh negara secara berterusan tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang.
“Tindakan tegas akan terus diambil demi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya serta mengurangkan kemalangan dan kehilangan nyawa akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol,” katanya.
-- BERNAMA