Pengasas Sapura Holdings mohon batal pemberian hibah 14.8 juta unit saham kepada anak

Shahriman (tengah) menolak kerusi roda dinaiki Shamsuddin ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya pada Khamis. - Gambar/ Sinar Harian
PUTRAJAYA: Pengasas Sapura Holdings Sdn Bhd Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir telah memohon perintah Mahkamah Tinggi Syariah di sini untuk mengesahkan pemberian hibah melibatkan 14.8 juta unit saham syarikat kepada dua anaknya pada 1997.
Kedua-dua anak Shamsuddin itu ialah Tan Sri Shahril, 64, selaku defendan pertama dan Datuk Shahriman, 56, yang dinamakan sebagai defendan kedua.
Dalam permohonan itu, Shamsuddin, 94, memohon pengesahan pemberian hibah kepada kedua-dua anaknya, yang masing-masing memperoleh pegangan 14.8 juta unit saham, 28 tahun lepas.
Pengesahan itu susulan permohonan Shamsuddin untuk membatalkan pemberian hibah kepada Shahril, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Group, atas faktor peribadi.Shahril membantah permohonan bapanya itu.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Shamsuddin mendakwa beliau telah mengadakan majlis pada 7 Nov 1997 di Bangunan Sapura, Ulu Klang, Selangor untuk menghibahkan secara lisan saham-saham miliknya di syarikat Sapura Holdings dan percaya rukun-rukun hibah telah disempurnakan mengikut hukum syarak.
Selain itu, plaintif mendakwa saham-saham syarikat tersebut adalah milik mutlak plaintif selaku pemberi hibah pada masa yang material sebelum dipindah milik dan didaftarkan atas nama defendan pertama dan kedua.
Oleh itu, Shamsuddin memohon mahkamah membenarkan permohonannya untuk mengesahkan hibah tersebut selaras peruntukan Seksyen 46(2)(b)(vi) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993).
Sementara itu, dalam pernyataan tuntutan terpinda bagi membatalkan hibah terhadap Shahril, Shamsuddin berkata beliau telah membuat satu deklarasi bertulis bertarikh 25 Jun lepas untuk menarik balik dan membatalkan hibah kepada Shahril serta melafazkannya di hadapan saksi-saksi.
Pada prosiding hari ini, peguam syarie Datuk Shamsuriah Sulaiman dan Suhaimi Saad mewakili Shamsuddin manakala Shahril diwakili Dr Mohd Rafie Shafie, dan Fakhrul Azman Abu Hasan mewakili Shahriman.
Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Niana Nazahar menetapkan 18 Nov ini untuk pengurusan kes.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami