MALAYSIA
Pengawal keselamatan didenda RM5,000 buat hantaran hina Nabi Muhammad SAW

Seorang pengawal keselamatan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah membuat hantaran menghina Nabi Muhammad SAW di Facebook. -Gambarf hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan membuat dan memulakan hantaran menghina Nabi Muhammad SAW menerusi akaun Facebooknya, April lepas.
Ringkasan AI
- Seorang pengawal keselamatan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah membuat hantaran menghina Nabi Muhammad SAW di Facebook.
- Hantaran tersebut dianggap jelik dan berpotensi menimbulkan kemarahan serta persepsi negatif terhadap Islam, disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
- Peguam tertuduh merayu hukuman ringan atas faktor tanggungan keluarga dan insaf, manakala pendakwa menekankan keseriusan kes dan kesan sosialnya.
Hantaran itu kemudian dilihat di Aras 4, Blok A, Kompleks Islam Putrajaya, Jalan Tunku Abdul Rahman, Presint 3, Putrajaya pada 12 tengah hari, 15 April lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Mohamad Farhan Kamarudin memohon hukuman berat kerana kesalahan itu amat serius selain OKS secara sedar telah menghina serta memfitnah Nabi Muhammad SAW dengan tuduhan yang tidak berasas.
"Komen tersebut jelas berpotensi menimbulkan kemarahan orang Islam dan menjatuhkan maruah orang Islam. Komen itu boleh dibaca oleh sesiapa sahaja termasuk golongan muda sekali gus memberi kesan negatif kepada persepsi dan tingkah laku masyarakat.
"Apabila kenyataan sebegini dibiarkan tersebar dalam talian dan dapat diakses oleh sesiapa sahaja, ia berpotensi menimbulkan persepsi yang salah kepada orang ramai," katanya.
Peguam P. Chandra Segaran memohon hukuman denda paling rendah kerana anak guamnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan berpendapatan RM1,700 sebulan perlu menyara isteri, tiga anak serta ibu yang uzur.
"Semasa membuat hantaran tersebut, OKS tidak dapat mengawal diri dan perasaan, sebab itu dia telah membuat hantaran balasan kepada pihak lain.
"Pengetahuannya terhadap perkara itu amat cetek, oleh itu dia memohon maaf kepada mahkamah dan kepada sesiapa yang telah membaca hantaran tersebut. Ini merupakan kesalahan pertama OKS dan dia insaf serta tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi," kata peguam itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami