KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menganjurkan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2024, pada 6 dan 7 Mei, dengan kehadiran hampir 800 peserta termasuk delegasi daripada ASEAN, Korea, Australia dan United Kingdom.

Persidangan itu menghimpunkan pengawal selia serantau dan pemimpin industri dalam membincangkan usaha mengimbangi dasar dan amalan bagi mendepani cabaran dalam industri komunikasi dan multimedia.

Persidangan selama dua hari itu dirasmikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Penganjuran IRC 2024 yang bertemakan “Aligning Innovation with Safety for a Sustainable Future,” menggariskan keperluan untuk meneliti selok belok teknologi sedia ada.

Tema persidangan IRC bertindak sebagai panduan dan menekankan kepentingan keselamatan ke arah kelestarian inovasi.

Persidangan itu berlangsung tepat pada masanya, di mana pada ketika pelbagai inovasi dan kemunculan teknologi baharu menuntut suatu diskusi mengenai perubahan dalam kerangka kerja kawal selia serta pendekatan dalam industri komunikasi dan multimedia.

Para pengawal selia dan delegasi memanfaatkan kesempatan yang ada dengan bertukar pandangan, menjalin kerjasama dan mencorak masa depan kawal selia dalam persekitaran global yang kompleks.

“Tujuan penganjuran IRC hari ini bagi membolehkan kita belajar daripada apa yang diusahakan negara-negara lain dan harapan saya kita dapat laksanakan secara berkala pada tahun-tahun akan datang.

“Persidangan ini juga dilaksanakan bersempena pengerusian ASEAN kerana Malaysia berada dalam kedudukan unik dan baik untuk membincangkan realiti keadaan situasi semasa.

“Jadi saya berharap agar program-program atau forum-forum diadakan semasa IRC 2024 ini dapat dilihat kesesuaiannya untuk dimasukkan dalam senarai acara sepanjang tempoh pengerusian ASEAN 2025,” kata Fahmi selepas merasmikan IRC 2024.

Sesi perbincangan sepanjang dua hari persidangan ini menyaksikan gambaran pengalaman sebenar, isu-isu praktikal dan cabaran dalam menguruskan persekitaran kawal selia di negara-negara tersebut.

Sejak 2018, Malaysia telah mempertingkatkan kerangka kawal selia dengan penglibatannya dalam perjanjian-perjanjian perdagangan utama seperti Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), yang mempromosikan kawal selia lebih baik dan menambah baik persekitaran perniagaan.

Malaysia turut terlibat dalam inisiatif seperti Projek Kerjasama Kawal Selia ASEAN (ARCP), yang bermatlamat mewujudkan persekitaran kawal selia yang memudah cara pelaburan dan perdagangan, pada masa sama, melindungi kesihatan, keselamatan dan alam sekitar.

Sesi perbincangan pada persidangan ini dibahagikan kepada beberapa subtema, merangkumi perlindungan keselamatan dalam talian, pemerkasaan pasaran dalam talian di ASEAN, memangkin penemuan dalam teknologi baharu serta memperjuangkan ketersambungan inklusif.

Empat tema memerlukan strategi digital komprehensif, yang mencerminkan strategi lebih luas oleh Malaysia untuk menangani cabaran era digital, selain memastikan ruang dalam talian yang lebih inklusif dan selamat.

Menerusi perbincangan mengenai rangka kerja keselamatan internet global dalam kalangan pengawal selia, persidangan ini bertujuan untuk memupuk kolaborasi antarabangsa bagi membangunkan rangka kerja global bagi meningkatkan keselamatan dalam talian.

Antara usaha kerajaan adalah untuk membina sebuah komuniti berdaya saing termasuk meningkatkan keselamatan siber yang memberi keutamaan kepada keselamatan dalam talian.

Persidangan ini turut menyaksikan usaha kolaboratif dalam kalangan pemain industri dalam mempromosikan literasi digital bagi melindungi pembangunan golongan muda.

Menyedari bahawa Kecerdasan Buatan (AI) muncul sebagai teknologi perintis dalam penciptaan kandungan, transformasi kaedah tradisional kepada proses yang inovatif, sebuah portal AI kini sedang dibangunkan untuk mempertingkatkan keselamatan dalam talian.

Menerusi teknologi AI, usaha untuk mengesan ancaman, menentusahihkan maklumat serta memerangi penipuan dalam talian dan fitnah, akan menjadi lebih lancar.

Selain daripada perbincangan secara dinamik berkaitan rangka kerja semasa persidangan, kemas kini kawal selia adalah perlu bagi mencerminkan perubahan teknologi dan kelakuan pengguna sejajar dengan evolusi telekomunikasi dan media yang berterusan.

Penyesuaian kawal selia akan datang dijangka mempengaruhi industri komunikasi dan multimedia dengan signifikan, yang mana terdapat keperluan untuk mempertingkatkan perlindungan pengguna yang berdaya saing.

Malaysia bakal mengambil alih teraju sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, tumpuan Malaysia adalah membangunkan sebuah visi pasca 2025 untuk komuniti ASEAN yang memberi penekanan kepada keamanan, kestabilan dan ketahanan.