GEORGE TOWN: Sekumpulan pengayuh beca di Pulau Pinang semalam menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri Chow Kon Yeow bagi membantah pemotongan separuh elaun bulanan mereka iaitu daripada RM200 kepada RM100.

Mereka juga mendakwa elaun berkenaan yang tertunggak sejak Januari lepas, hanya dibayar semalam menerusi akaun masing-masing selepas mendapat tahu kumpulan pengayuh beca akan mengadakan demonstrasi semalam di Komtar, di sini.

Seorang pengayuh beca, Noordin Lazim, 57, berkata kira-kira 100 pengayuh beca di kawasan George Town dan Batu Feringghi kecewa dengan tindakan kerajaan negeri yang memotong elaun mereka dan langsung tidak memaklumkan perkara itu.

"Kami menunggu bayaran elaun ini sejak Januari lepas dan semalam selepas dibayar kami cuma dapat RM300 daripada sepatutnya RM600 untuk tempoh tiga bulan.

"Sudahlah elaun lambat dibayar kini jumlahnya dipotong pula tanpa sebarang alasan, semakin sukar untuk kami meneruskan hidup kerana sekarang ini pelanggan yang menaiki beca masih berkurang," katanya ketika ditemui di Komtar di sini, semalam.

Terdahulu, sekumpulan penarik beca bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Urban Life Volunteer dan Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang (Surplus) menyerahkan memorandum berkenaan kepada Pegawai Penerangan kepada Ketua Menteri, Zahar Zainul untuk disampaikan kepada Chow bagi tindakan lanjut.

Sementara itu seorang lagi pengayuh beca Mohd Ibrahim Mohd, 69, berkata dia berharap kerajaan negeri dapat membayar semula elaun RM200 sebulan kerana jumlah itu sangat bermakna kepada mereka dalam menampung perbelanjaan.

"Kalau RM100 sahaja yang dibayar, macam kami (pengayuh beca) yang menyewa beca hanya dapat separuh kerana RM50 perlu dibayar kepada tauke, sedangkan kalau RM200 seperti sebelum ini, adalah baki lebih sedikit untuk menampung perbelanjaan.

"Jadi saya minta kepada kerajaan negeri supaya bagi semula bayaran penuh elaun, lagipun sekarang ini duit hasil kayuh beca tak banyak mana sebab masih tak ramai pelancong," katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Yeoh Soon Hin dalam kenyataan berkata kerajaan Pulau Pinang tidak pernah meminggirkan pengayuh beca dan sentiasa mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat.

Beliau berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dan menyelaras dengan pihak berkuasa kerajaan yang berkaitan untuk menyediakan tempat perlindungan bagi pengayuh beca.

"Kami (Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif) juga telah memulakan pembukaan akaun bank peribadi pada 2020 untuk pengayuh beca bagi memudahkan pemindahan elaun bulanan RM100 dan juga mengurangkan risiko penularan COVID-19.

"Kerajaan Pulau Pinang merasai nasib yang menimpa pengayuh beca dan juga telah menggandakan elaun bulanan daripada RM100 kepada RM200, selama enam bulan bermula Jun 2021 hingga Disember 2021," katanya.

Tambahnya beliau telah membuat syor kepada Kerajaan Negeri untuk meneruskan pembayaran tambahan RM100 sebulan kepada penjaja beca, berjumlah RM200.

-- BERNAMA