GEORGE TOWN: Seorang pengedar dadah yang ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM116,000, ditemukan maut tergantung dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), di Nibong Tebal dekat sini hari ini.

Lelaki berusia 40 tahun itu yang ditahan semalam di Lunas, Kedah, ditemukan mati dalam keadaan tergantung dengan baju tahanan di jeriji besi pintu sel lokap.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata pihak polis menyedari kejadian itu pada 10 pagi, ketika pegawai bertugas membuat rondaan di sel lokap di situ, sebelum pemeriksaan mendapati lelaki yang bekerja sebagai peniaga itu telah menggantung diri.

"Kejadian itu berlaku selepas lelaki tersebut dibawa balik dari permohonan tahanan reman di mahkamah dan terdapat tiga lagi tahanan dalam sel yang sama dengan suspek, tapi mereka sedang tidur ketika itu.

"Pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di sel itu mendapati suspek memang menggantung dirinya.

"Pihak polis telah menjalankan pemeriksaan awal mengikut prosedur ditetapkan, termasuk memanggil pihak koroner yang mengesahkan suspek mati tiada unsur jenayah.

"Mayat dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk dibedah siasat dan kes disiasat sebagai kematian mengejut," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Khaw berkata lelaki tersebut ditahan bersama empat lagi lelaki berusia 35 hingga 58 tahun, yang merupakan ahli sindiket pengedaran dadah dalam siri serbuan di sekitar Pulau Pinang dan Lunas, bermula 12 tengah hari semalam hingga 7 pagi hari ini.

Beliau berkata dalam siri serbuan di Nibong Tebal, Taman Tasek Mutiara dan Seberang Perai Tengah serta Lunas itu, polis merampas 11,327 gram (g) ganja bernilai RM37,400 dan ganja sebagai mushroom atau magic mushroom seberat 1,393g yang berharga RM78,000.

"Berdasarkan siasatan, sindiket itu dipercayai memproses dadah jenis mushroom tersebut ke dalam rokok dan menjualnya dengan harga RM60 sebatang.

"Mereka dipercayai aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak awal tahun ini untuk pasaran tempatan," katanya.

Beliau berkata dua daripada suspek merupakan penganggur, manakala dua lagi merupakan pembantu kedai dan tukang kebun dengan semua mereka positif dadah, serta mempunyai empat hingga 22 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Khaw berkata semua dadah itu boleh digunakan 50,000 penagih dan kesemua empat lelaki tersebut direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis turut menyita wang tunai (RM1,020), dua buah kereta dan sebuah motosikal yang kesemua bernilai RM85,520," katanya sejak Januari hingga 30 Jun, Polis Pulau Pinang menahan 7,216 suspek berkaitan kes dadah.

-- BERNAMA