Skip to main content

Dunia

Negara G7 bakal lepaskan 100 juta tong minyak dan bahan api diesel selepas harga melambung

Purata nasional untuk segelen diesel di AS ialah AS$6.37 pada Jumaat, menurut AAA, selepas mencecah rekod AS$6.52 pada 22 Sept. - Foto REUTERS
Purata nasional untuk segelen diesel di AS ialah AS$6.37 pada Jumaat, menurut AAA, selepas mencecah rekod AS$6.52 pada 22 Sept. - Foto REUTERS

Advertisement

Ringkasan AI

  • G7 mengumumkan rancangan melepaskan 100 juta tong minyak dan produk bahan api dalam minggu-minggu akan datang untuk menstabilkan harga pasaran.
  • Pelepasan diesel besar akan bermula serta-merta dalam tempoh 20 hari, diselaraskan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).
  • G7 menegaskan komitmen untuk tidak mengenakan sekatan eksport tenaga antara negara anggota bagi mengelak ketegangan pasaran bertambah buruk.

WASHINGTON: Kumpulan tujuh negara perindustrian (G7) mengumumkan pada Jumaat bahawa mereka merancang untuk melepaskan 100 juta tong minyak dan produk bahan api dalam minggu-minggu akan datang, bermula dengan jumlah diesel yang "banyak" selepas harga bahan api itu baru-baru ini mencapai paras rekod tertinggi di Amerika Syarikat (AS), lapor Associated Press (AP).

Presiden Donald Trump menyatakan bahawa pelepasan diesel itu akan berlaku "serta-merta", manakala kenyataan G7 berjanji untuk melakukan "pelepasan besar yang dimuatkan awal" bagi diesel dalam tempoh 20 hari akan datang.

Trump dan Parti Republikan berdepan tekanan untuk menangani lonjakan harga menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada 3 Nov dan Trump mengumumkan tindakan itu pada Jumaat menerusi media sosial.

Kadar sokongan terhadap presiden mengenai isu ekonomi merosot ke tahap terendah baharu, menurut tinjauan AP-NORC, memandangkan perang dengan Iran serta perang dagang beliau telah meningkatkan harga minyak dan barangan lain di AS.

Harga petrol di AS dan luar negara melonjak naik sepanjang perang yang berlarutan selama lapan bulan itu kos yang berulang kali dinyatakan oleh Trump berbaloi demi memastikan Iran tidak memperoleh senjata nuklear. 

Purata nasional untuk segelen diesel di AS ialah AS$6.37 pada Jumaat, menurut AAA, selepas mencecah rekod AS$6.52 pada 22 Sept.

Perancis memegang jawatan Presiden Kumpulan G7 secara giliran dan membuat pengumuman itu dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas rundingan sidang video yang dipengerusikan oleh Emmanuel Macron. Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) akan menyelaraskan usaha untuk memerangi lonjakan harga bahan api itu.

"Kami akan melaksanakan komitmen kami menerusi pelepasan melalui IEA sebanyak 100 juta tong (MB) untuk bermula serta-merta dalam tempoh 4 bulan, termasuk pelepasan diesel besar yang dimuatkan di awal dalam tempoh 20 hari pertama oleh ahli dan rakan kongsi G7," memetik kenyataan itu.

Beberapa ahli Republikan di AS sebelum ini menggesa agar Trump melarang eksport diesel AS bagi membantu menurunkan harga domestik. Namun, kenyataan G7 menyebut bahawa kumpulan itu, termasuk AS, turut bersetuju untuk tidak mengehadkan eksport tenaga antara satu sama lain.

"Kami menegaskan semula komitmen kami untuk mengelakkan sekatan eksport terhadap tenaga dan produk tenaga antara negara G7 serta menyeru semua pengeluar agar mengelak daripada mengenakan sekatan yang boleh memburukkan lagi ketegangan pasaran," katanya.

Trump mengadakan perbualan semalaman dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron, Pengerusi G7, mengenai keperluan menangani kenaikan harga bahan api dan ketersediaan produk petroleum, menurut Kedutaan Perancis di AS. Macron kemudiannya mempengerusikan sidang video pemimpin G7 pada Jumaat bagi membincangkan isu itu.

Selain panggilan dengan Macron, Trump pada Jumaat turut menyertai mesyuarat bersama pemimpin G7 untuk merundingkan pelepasan rizab diesel Eropah, menurut pegawai Rumah Putih yang enggan dinamakan.

Pada Khamis, Trump memulakan apa yang disifatkannya sebagai kempen siri perhimpunan selama 32 hari untuk mengukuhkan peluang partinya mengekalkan kawalan ke atas Dewan Perwakilan dan Senat AS dalam pilihan raya November ini.

Presiden itu semakin kecewa dengan apa yang dilihatnya sebagai jurang perbezaan antara pencapaian beliau dan pandangan orang ramai terhadap kerjanya. Minggu ini, beliau memberi gred A+ untuk usahanya dalam bidang ekonomi tetapi berkata "kami melakukan tugas promosi yang amat lemah."

-- BERNAMA-AP

 

 

Must Watch Video

Advertisement