NASHVILLE: Christa Pike, satu-satunya wanita yang menunggu hukuman mati di Tennessee, dilaporkan tidak sedarkan diri dan bergantung pada alat bantuan pernafasan selepas pelaksanaan hukuman mati terhadapnya gagal, menurut peguamnya.
Pike, 50, kini berada dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di sebuah hospital berhampiran Nashville selepas diberikan dua dos ubat pentobarbital pada Rabu.
Menurut dokumen mahkamah yang difailkan pasukan pembelaannya, Pike masih hidup walaupun telah menerima dos suntikan maut yang sepatutnya menyebabkan kematian, sebelum dihantar ke hospital dengan ambulans untuk rawatan kecemasan.
Peguam Pike turut memfailkan permohonan kecemasan bagi memastikan semua bukti berkaitan pelaksanaan hukuman yang gagal itu dipelihara, termasuk bukti fizikal, dokumen bertulis dan rekod elektronik.
Menurut pemfailan tersebut, kakitangan hospital sedang berusaha menyelamatkan nyawa Pike dan membersihkan pentobarbital daripada sistem tubuhnya.
Pasukan pembelaan mendakwa pegawai penjara menggunakan sekurang-kurangnya tujuh jarum dalam usaha memasukkan saluran intravena (IV) sebelum ubat itu diberikan.
Malah, menurut mereka, Pike sendiri pada satu ketika mencadangkan lokasi yang boleh digunakan bagi memasukkan jarum, manakala satu daripada jarum yang dikeluarkan dilaporkan bengkok hampir 90 darjah.
Peguamnya turut mendakwa Pike kedengaran menangis, merintih dan bernafas dengan kuat sepanjang prosedur itu dijalankan.
Susulan insiden berkenaan, Gabenor Tennessee, Bill Lee, mengarahkan semakan bebas dijalankan terhadap kegagalan pelaksanaan hukuman mati tersebut dan menggantung semua hukuman mati di negeri itu bagi baki tahun ini.
Bagaimanapun, Jabatan Koreksi Tennessee mempertahankan prosedur yang digunakan dengan menyatakan protokol sedia ada tidak membenarkan sebarang langkah tambahan selain yang telah dilaksanakan.
Setakat ini, pihak berkuasa belum menjelaskan punca kegagalan pelaksanaan hukuman itu atau sama ada mereka akan cuba melaksanakannya sekali lagi.
Peguam Pike sebelum ini memberi amaran bahawa keadaan kesihatannya, termasuk thrombocytosis iaitu gangguan pembekuan darah serta saluran darah yang kecil, boleh meningkatkan risiko komplikasi semasa suntikan maut dilakukan.
Mereka mendakwa pasukan pelaksana hukuman gagal menyedari bahawa saluran IV tidak dipasang dengan betul dan ubat pentobarbital mungkin tidak memasuki aliran darah seperti yang sepatutnya.
Pakar bius yang membantu pasukan pembelaan, Dr Joel Zivot, berkata dua dos pentobarbital sepatutnya mencukupi untuk menyebabkan kematian jika disalurkan ke dalam sistem peredaran darah secara normal.
Beliau berpendapat kemungkinan besar ubat berkenaan meresap ke dalam tisu di bawah kulit akibat saluran darah yang pecah atau tersumbat, sekali gus menghalang kesan yang diperlukan untuk melaksanakan hukuman mati.
Pike merupakan satu-satunya wanita yang menunggu pelaksanaan hukuman mati di Tennessee.
Pada 1996, dia dijatuhi hukuman mati selepas disabitkan kesalahan membunuh Colleen Slemmer, 19, pada tahun sebelumnya.
Kes itu mendapat perhatian meluas selepas Pike, yang ketika itu berusia 18 tahun, bersama teman lelakinya, Tadaryl Shipp, didapati memukul, menyeksa dan membunuh mangsa.
Shipp, yang berusia 17 tahun ketika kejadian, terlepas hukuman mati dan sebaliknya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.