AYER KEROH: Pengendali akaun media sosial diingatkan supaya menghormati hak cipta kandungan berita dan tidak mengambil atau menyiarkan semula bahan laporan media arus perdana tanpa kebenaran serta pengiktirafan sumber, khususnya sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pihaknya menerima aduan berhubung tindakan pihak tertentu yang mengambil kandungan berita dan hasil kerja wartawan tanpa memberikan kredit kepada organisasi media yang menghasilkannya.
Menurutnya, tindakan itu tidak seharusnya berlaku memandangkan setiap laporan berita memerlukan usaha dan komitmen petugas media yang membuat liputan di lapangan.
Beliau berkata, wartawan yang mendapati kandungan mereka disalin atau digunakan tanpa kebenaran boleh mengemukakan aduan kepada Majlis Media Malaysia (MMM), selain Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekiranya membabitkan platform media sosial.
“Ini peringatan, terutama kepada pengendali akaun media sosial supaya tidak mengambil kandungan daripada media arus perdana atau media rasmi tanpa persetujuan dan kebenaran pihak yang menghasilkan berita itu.
“Kita tidak mahu ada mana-mana pihak mengambil kesempatan atas penat lelah kerja yang telah dilaksanakan rakan-rakan media,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau Pusat Media Utama PRN Melaka ke-16, di Ayer Keroh pada Ahad.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata sebanyak 39 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh Melaka turut dibuka sebagai pusat sokongan kepada pengamal media yang membuat liputan sepanjang tempoh pilihan raya.
Katanya, kemudahan itu menyediakan akses internet, makanan dan minuman serta ruang untuk petugas media berehat dan menyiapkan laporan.
Selain itu, MCMC turut menyediakan kaunter aduan bagi membantu menyelesaikan sebarang masalah capaian internet yang dihadapi pengamal media ketika bertugas.
Fahmi turut menggalakkan petugas media menggunakan aplikasi MCMC Nexus bagi menguji kelajuan internet di lokasi liputan, sekali gus membantu mengenal pasti kawasan yang mengalami masalah liputan atau titik buta komunikasi.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua calon supaya menghormati kehadiran pengamal media sepanjang tempoh berkempen dan meminta sebarang insiden yang menjejaskan keselamatan atau keselesaan petugas media dilaporkan segera kepada pihak berkuasa.
Beliau berkata, kemudahan pusat media dan NADI disediakan bagi memastikan pengamal media dapat menjalankan tanggungjawab membuat liputan PRN Melaka dengan lebih lancar dan berkesan.