KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk memansuhkan peruntukan lapuk dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan menggantikannya dengan kerangka undang-undang baharu iaitu Akta Pendidikan Tinggi bagi memperkukuh kebebasan akademik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan akta baharu itu kelak secara langsung akan mengurangkan kuasa campur tangan kerajaan dan kementerian dalam urusan pentadbiran universiti.
Anwar berkata, penggubalan undang-undang baharu berkenaan perlu dirangka secara teliti bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kepimpinan universiti, persatuan akademik dan pihak berkepentingan bagi mengelakkan wujudnya sebarang kelompongan undang-undang dalam menguruskan institusi.
"Tahun 2026 ini bukan lagi tahun 70-an. Kita mesti dan wajib melaksanakan perubahan yang drastik. Saya tidak mahu nama Akta Universiti, sebaliknya Akta Pendidikan Tinggi yang selari dengan pelan transformasi pendidikan sedia ada.
"Akta pendidikan tinggi ini tidak boleh digunakan untuk memperkukuh kuasa luar daripada universiti untuk dunia akademik. Kita harus terima hakikat bahawa ia dengan sendirinya akan mengurangkan kuasa kerajaan atau kementerian bagi memberi pelonggaran kebebasan kepada universiti," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 13 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, di sini pada Rabu.
Menyentuh mengenai kebebasan para pensyarah dan penyelidik, Anwar menegaskan peraturan penjawat awam yang mengekang tidak wajar digunakan untuk menutup mulut ahli akademik daripada mengemukakan pandangan berbeza atau kritikan terhadap dasar negara, termasuk konsep Malaysia MADANI.
Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa kebebasan akademik menuntut pertanggungjawaban ilmiah yang tinggi berasaskan fakta dan disiplin ilmu yang sahih.
"Pandangan akademik tidak harus tersekat atau dikongkong oleh peraturan kerajaan, asalkan ahli akademik mampu mempertahankan hujah mereka secara ilmiah.
“Janganlah buat dakwaan pelik tanpa sandaran kajian yang betul. Selagi ia berasaskan hujah akademik, kita beri ruang sepenuhnya," tambah beliau.