Skip to main content

Malaysia

Pengiktirafan Mesra Muslim bukan ganti sijil halal - ITC

https://bernama.com/bm/am/news.php?id=2586120
ITC memaklumkan penjelasan itu dibuat susulan perbincangan di media sosial mengenai penggunaan istilah Mesra Muslim serta persoalan berkaitan skop dan pemahaman konsep berkenaan. - Gambar/ Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Islamic Tourism Centre (ITC) menjelaskan bahawa Pengiktirafan dan Jaminan Pelancongan serta Hospitaliti Mesra Muslim (MFAR) bukan badan pensijilan halal dan tidak menggantikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), sebaliknya melengkapkan ekosistem halal negara bagi memenuhi keperluan pelancong Muslim.

ITC memaklumkan penjelasan itu dibuat susulan perbincangan di media sosial mengenai penggunaan istilah Mesra Muslim serta persoalan berkaitan skop dan pemahaman konsep berkenaan.

"MFAR ialah pengiktirafan rasmi yang dibangunkan ITC berdasarkan garis panduan khusus bagi memastikan produk dan perkhidmatan pelancongan memenuhi elemen mesra Muslim tanpa mengubah atau menggantikan keperluan pensijilan halal sedia ada.

"Skop MFAR merangkumi antaranya penginapan pelancongan, syarikat agensi pelancongan, premis spa dan kesejahteraan serta produk dan perkhidmatan lain dalam ekosistem pelancongan dan hospitaliti," menurut kenyataan itu hari ini.

ITC memaklumkan bagi premis yang menyediakan makanan dan minuman, pematuhan terhadap keperluan Pensijilan Halal Malaysia merupakan antara elemen diberi perhatian dalam proses pengiktirafan MFAR, dengan pelaksanaannya dibuat menerusi kerjasama rapat bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Tujuan utama MFAR adalah menyediakan pengalaman pelancongan yang selesa, selamat dan berteraskan prinsip Islam melalui penyediaan kemudahan ibadah, makanan halal serta perkhidmatan yang memenuhi keperluan pelancong Muslim," menurut ITC.

Menurut kenyataan itu lagi, pendekatan MFAR turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila diterima pakai di beberapa destinasi luar negara termasuk Rusia dan Taiwan.

"Pembangunan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH) turut menyumbang kepada pengiktirafan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim nombor satu dunia selama 11 tahun berturut-turut," menurut kenyataan itu.

ITC yang ditubuhkan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada 2009 turut memaklumkan pihaknya terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi mesra Muslim yang diyakini di peringkat global serta menggalakkan orang ramai mendapatkan maklumat sahih mengenai MFAR melalui saluran rasmi agensi itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement