Penginapan jangka pendek secara beransur-ansur dapat memenuhi permintaan pelancong yang mencari unit penginapan lebih besar dan tinggal lebih lama.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata penginapan sedemikian dapat menyelesaikan masalah kekurangan bilik hotel di negeri ini yang menyaksikan peningkatan kedatangan pelancong.

"Penginapan jangka pendek bukanlah sesuatu yang baru. Ia bermula setelah pemilik rumah menyewakan rumah mereka atau bilik yang berlebihan kepada tetamu," katanya.

Dalam ucapannya pada majlis pelancaran Bay Suites Condominium di sini pada Jumaat, Mohd Shafie berkata populariti penginapan jangka pendek melonjak pada tahun-tahun kebelakangan ini, terutamanya disebabkan oleh Internet yang mempermudahkan proses tempahan.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Jaujan Sambakong.

Bay Suites Condominium yang dibina Remajaya Sdn Bhd menawarkan unit komersial tepi pantai untuk pemilikan rumah, homestay atau Airbnb.

Mohd Shafie berkata memandangkan penginapan jangka pendek yang semakin mendapat sambutan, sudah tiba masanya kawalan dan peraturan yang sewajarnya dikenakan untuk memastikan keselamatan pelancong tidak terjejas.

Beliau berkata Sabah akan sentiasa terbuka kepada sumbangan dan penyertaan dari sektor swasta untuk memenuhi permintaan industri perhotelan dan pada masa yang sama, memenuhi cabaran alam sekitar untuk menjadikan Sabah tempat yang lebih baik untuk didiami.

"Saya menggesa industri pembinaan, agensi kerajaan dan orang ramai secara keseluruhannya supaya menjadi lebih bertanggungjawab. Kita boleh dan kita mesti membuat perubahan," katanya.

-- BERNAMA