Pengisian guru di seluruh negara lebih 98 peratus - Fadhlina

Fadhlina berkata, SPP juga memainkan peranan penting dalam memahami keperluan dan kekurangan tenaga pengajar, serta berusaha memastikan pengisian guru dilaksana segera. - Gambar fail
NIBONG TEBAL: Kerajaan MADANI terus memperlihatkan komitmen kukuh dalam menangani isu kekurangan guru dengan mencapai kadar pengisian lebih 98 peratus bagi penempatan cikgu di seluruh negara.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata hanya kurang daripada dua peratus jawatan guru di seluruh negara masih belum diisi setakat ini, dengan seramai 53,000 guru telah dilantik sejak 2022 untuk memenuhi keperluan cikgu di sekolah.
"Jadi ini adalah iltizam kita untuk memastikan bahawa pengisian guru dapat kita laksanakan secara bersungguh-sungguh, untuk mengatasi kekurangan guru dan kalau pengisian sudah sampai 98 peratus saya fikir kita harus terus meningkatkan usaha kita bagi mengatasi isu-isu kekurangan guru dari semasa ke semasa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Aset Sekolah Angkat MADANI Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap di sini, yang disempurnakan Pengerusi SPA Datuk Seri Ahmad Jailani Muhamed Yunus.
Beliau berkata Suranjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) juga memainkan peranan penting dalam memahami keperluan dan kekurangan tenaga pengajar serta sentiasa berusaha memastikan pengisian guru dilaksanakan dengan segera dan berkesan.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata proses pengisian guru akan dilakukan sebaik sahaja terdapat kekosongan, tanpa berlengah bagi memastikan tiada isu kekurangan guru di sekolah.
Sementara itu, beliau berkata isu berhubung guru baharu tidak melaporkan diri selepas menerima penempatan Isnin lepas tidak begitu serius, kerana jumlah tersebut sangat sedikit, namun pihaknya mengambil perhatian berhubung perkara tersebut.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) juga sedang mengumpulkan maklumat itu bagi mendapatkan gambaran keseluruhan berhubung isu tersebut dan dalam masa sama akan mengatasi isu yang timbul sehingga menyebabkan mereka tidak melaporkan diri.
"Saya rasa tidak begitu serius, kerana jumlah itu sangat sedikit tetapi kena ambil perhatian mengapa mereka tidak mampu mendaftarkan diri dan mungkin ada sebab-sebab peribadi ataupun sebab yang perlu KPM ambil maklum tentang mengapa keadaan tersebut berlaku.
"Kita perlukan sedikit masa untuk kumpulkan semua maklumat itu dan tiada masalah untuk mereka mendaftar (selepas ini), kerana KPM masih memerlukan mereka, kita harap isu itu dapat atasi segera kerana keperluan untuk mereka berada di penempatan itu sangat tinggi," katanya.
Media semalam melaporkan seramai tujuh orang guru yang diambil menerusi inisiatif Pengambilan Khas Guru Sarawak meletak jawatan, sementara seramai 51 orang guru tidak melapor diri
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


