Pengubahsuaian Bajet 2016 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Jan ini dijangka tidak banyak menjejaskan perancangan dan perbelanjaan Kementerian Pertahanan.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ini kerana kebanyakan perbelanjaan kementerian itu merupakan projek yang diputuskan sebelum ini seperti pembelian aset untuk pertahanan negara.

"Saya rasa ia tidak banyak menjejaskan (perbelanjaan) kita kerana isu pertahanan, isu keselamatan...banyak bersandarkan kepada projek-projek yang telah pun kita komited," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Hala Tuju Kementerian Pertahanan, di sini hari ini.

Hishammuddin berkata pembelian aset-aset yang telah diputuskan itu akan diterima tahun ini atau pada tahun depan.

"Jadi susah jika mahu potong bajet-bajet yang telah kita komited," katanya apabila ditanya mengenai kesan pengubahsuaian Bajet 2016 yang dijangka diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Jan depan terhadap perancangan kementerian itu.

Bagaimanapun, Hishammuddin tidak menolak pengubahsuaian bajet itu mungkin memberikan sedikit kesan kepada perancangan lain kementerian itu.

Beliau berkata, masih terlalu awal untuk mengetahui apa yang akan diputuskan dalam pengubahsuaian bajet itu dan meminta semua pihak menunggu pembentangannya oleh perdana menteri.

Beliau berkata kementerian itu telah melakukan tindakan proaktif dalam menentukan keutamaan projek-projek dan program yang akan dilaksana pada tahun ini, sekiranya dalam pengubahsuaian bajet itu ada keputusan-keputusan yang menjejaskan perancangan.

Mengenai Program Hala Tuju Kementerian Pertahanan, Hishammuddin berkata ia bertujuan menentukan perancangan dan pelaksanaan program kementerian itu pada tahun ini.

Menerusi program itu, lima teras utama dikenal pasti yang akan diberikan keutamaan pada tahun ini iaitu kebajikan anggota Angkatan Tentera (ATM) dan veteran ATM, kesiapsiagaan aset ATM, keselamatan negara, diplomasi pertahanan dan transformasi Program Khidmat Latihan Negara, katanya.

"Menerusi pemukiman ini warga kementerian serta pihak industri pertahanan akan mempunyai pemahaman yang lebih jelas serta mempunyai misi yang sama dalam memastikan pendekatan dan fokus dalam merealisasikan perancangan pada tahun ini," katanya.