KUALA LUMPUR: Fasa pertama pembangunan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) tertumpu kepada pengumpulan informasi dan data kementerian serta agensi di bawah Kerajaan Persekutuan, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib.

PADU mengintegrasikan data mikro daripada pelbagai agensi kerajaan bagi mewujudkan profil individu dan isi rumah setiap rakyat Malaysia.

"Agensi kerajaan yang beroperasi di negeri dan daerah mempunyai kepelbagaian data granular hingga ke peringkat lokaliti dan berfrekuensi tinggi.

"Oleh itu, keterlibatan semua agensi dan perkongsian data merupakan perkara asas dalam menjayakan PADU," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda yang ingin tahu sama ada pelaksanaan PADU akan turut melibatkan institusi-institusi di bawah kerajaan negeri seperti Majlis Agama Islam negeri-negeri serta institusi swasta.

Hanifah Hajar berkata pelbagai sesi libat urus telah diadakan dengan pihak negeri sejak Ogos lepas.

"Keperluan PADU di peringkat negeri memerlukan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk data kaji pendapatan, pencen penjawat awam negeri serta bantuan khusus, Majlis Agama Islam berkenaan maklumat status perkahwinan dan penceraian serta agensi zakat negeri bagi data pemberian dan penerima zakat," katanya.

Menurut Hanifah Hajar data negeri juga diperoleh daripada pejabat-pejabat berkaitan pemilikan tanah, pihak berkuasa tempatan bagi data kediaman serta pembekal perkhidmatan untuk maklumat mengenai utiliti.

"Selain agensi dinyatakan, untuk fasa seterusnya kerjasama daripada pelbagai agensi lain diperingkat negeri akan turut dilibatkan bagi memastikan maklumat yg lebih lengkap dapat diintegrasikan dalam sistem PADU," katanya.

-- BERNAMA